Masalah disfungsi erektil (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, boleh disifatkan isu kesihatan yang meruntuhkan keyakinan seseorang lelaki.
Lelaki yang mengalami ED tidak berupaya mencapai atau mengekalkan ketegangan zakar dalam mencapai kepuasan hubungan seks, yang mungkin memberikan tekanan kepada hubungan fizikal dan mewujudkan keraguan dan rasa emaskulasi (pembuangan penis atau zakar melalui pembedahan).
Ada pelbagai cara menangani masalah ini termasuk kaunseling psikologi, ubat dan pembedahan, yang bergantung pada keadaan pesakit. Satu tanggapan salah mengenai implan zakar yang membabitkan prosedur pembedahan hanya untuk memperbesarkan dan memanjangkan zakar.
Sedangkan pembedahan implan bukan memperbesarkan saiz sebaliknya pendekatan paling efektif untuk mengatasi masalah ED dan memulihkan keyakinan pesakit.
Siapakah yang memerlukannya? Implan zakar bukan sahaja dikhaskan sebagai usaha terakhir untuk pesakit ED malah ia ditawar kepada pesakit yang mengalami kelengkungan zakar kronik dengan masalah ereksi. Sebelum implan dipertimbangkan sebagai penyelesaian, pesakit biasanya disaran beberapa pilihan rawatan lain bergantung pada tahap masalah ED masing-masing.
Ubat boleh ditawarkan kepada pesakit dengan simptom ringan tetapi jika mereka tidak dapat menanggung kesan sampingan ubat itu atau dianggap tidak sesuai untuk mengambilnya, pam zakar, suntikan ubat atau implan disyorkan sebagai alternatif.
Pesakit kanser yang menjalani pembedahan prostat juga berisiko menghidap ED kerana pembedahan itu mungkin membabitkan pembuangan saraf yang menyumbang kepada masalah ereksi dan kawalan kencing. Pembedahan yang bertujuan merawat tumbesaran prostat yang tidak berbahaya boleh mendatangkan risiko kecil kepada masalah ED.
Oleh sebab itu, sangat penting bagi pesakit memahami risiko sebelum bersetuju menjalani pembedahan. ED juga boleh dialami pesakit yang mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti hipertensi, diabetes, tahap kolesterol tinggi, masalah jantung, kegagalan buah pinggang dan kecederaan saraf tunjang.
Lelaki yang mengalami stres, kerisauan atau masalah psikologi juga mungkin mendapati diri mereka tidak berupaya untuk mencapai ereksi. Jenis-jenis implan Ada dua jenis implan zakar: boleh dibentuk (dua bahagian) dan boleh dikembung (tiga bahagian). Kedua-duanya tersembunyi di dalam badan.
Jenis yang boleh dibentuk dihasilkan menggunakan dua keping implan separa tegar, ia lebih murah dan mudah untuk dilakukan. Pembedahannya adalah dengan meletakkan kedua-dua implan pada batang zakar, yang boleh dibengkok ke atas menyerupai ereksi.
Implan boleh dibentuk mungkin mempunyai beberapa kesan sampingan seperti penampilan erektil separa yang tidak semula jadi dan kadangkala menyebabkan penipisan atau hakisan pada tisu zakar. Ini kerana sifat implan separa tegar yang memberikan sedikit tekanan pada daging.
Implan boleh dikembung pula adalah alat berisi cairan bergaram (salin) yang lembut. Ia merangkumi dua tiub zakar yang halus (yang mana salin masuk), pam dan takungan. Apabila pesakit ingin mencapai ereksi, dia boleh menekan pam yang terletak pada skrotum di bahagian sisi testis.
Cecair dari takungan yang terletak di dalam abdomen akan disalurkan ke tiub halus terletak pada batang zakar untuk menghasilkan ereksi. Walaupun mahal, implan zakar boleh dikembung memberikan penampilan estetika lebih baik manakala kesan sampingannya cuma minimum berbanding jenis boleh dibentuk.
Kedua-dua jenis implan ini tidak mengubah sensasi zakar atau mengurangkan orgasma (klimaks). Saiz yang optimum akan dimasukkan supaya ia tidak menyebabkan kesakitan kepada pesakit atau batang zakar diregang secara melampau. Apa yang perlu diketahui sebelum membuat keputusan?
Penting untuk menghitung jangkaan dan memahami risiko dan komplikasi implan zakar sebelum pembedahan dilakukan. Ada beberapa faktor yang mungkin menjejaskan kejayaan pembedahan seperti saiz zakar dan skrotum, tahap pembengkokan zakar, pembedahan zakar atau radioterapi terdahulu, status pemulihan pesakit dan komitmen terhadap kebersihan.
Walaupun kadar insiden rendah, penting untuk diingat bahawa implan zakar masih alatan asing dalam badan manusia. Walaupun ia biopadat, implan boleh menyebabkan risiko jangkitan, pendarahan, kesakitan dan kerosakan mekanikal.
Pengubah kehidupan Ramai pesakit ED boleh menikmati tahun yang produktif pada masa akan datang kerana implan zakar adalah penyelesaian yang boleh mengubah kehidupan mereka.
Pesakit ED yang tidak mengalami kejayaan dengan ubatan harus mempertimbangkan implan zakar kerana ia mungkin dapat mengembalikan kualiti kehidupan dan meningkatkan keyakinan pesakit.
FAKTA: Simptom ED:
* Masalah ereksi
* Sukaran kekalkan ereksi sepanjang aktiviti seksual
* Kurang minat melakukan seks
* Ejakulasi pramatang
* Ejakulasi lewat
Faktor penyebab ED:
* Sakit jantung
* Diabetes
* Tekanan darah tinggi
* Masalah berpunca daripada kanser ataupun pembedahan
* Kecederaan
* Obes
* Peningkatan usia
* Stres
* Masalah hubungan suami isteri
* Penyalahgunaan dadah
* Pengambilan alkohol
* Merokok
Tip kesihatan:
* Kerap bersenam
* Kawal tekanan darah normal
* Amalan pemakanan seimbang
* Kekalkan berat badan seimbang
* Elak pengambilan alkohol dan tembakau
* Kurangkan stres
* Amalkan senaman Kegel
0 comments:
Post a Comment