My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 10 December 2018

    Filem Hebat Gagal Pecah Panggung


    Tanggal 7 Disember, filem Awang Gerudi garapan kedua Zek Lokman tahun ini selepas Mahaguru bakal ditayangkan di pawagam tempatan. Biarpun belum ditayangkan sudah ada ‘ura-ura’ filem itu akan gagal di pawagam seperti dilalui filem Mahaguru minggu lalu. 

    Namun begitu, ia bukan alasan untuk penonton terus ‘menghukum’ tanpa usul periksa kerana tidak mustahil filem itu pasti ada tarikan tersendiri, bak kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’.

    Top 10 Bling minggu ini menyenaraikan 10 filem tempatan 2018 dan 2017 yang gagal pecah panggung tetapi punya jalan cerita berkualiti malah lakonan cemerlang hingga mampu meraih anugerah dalam dan luar negara.

    1. One Two Jaga

    Filem arahan Nam Ron ini dianggap sebagai filem yang memiliki subjek menarik dari segi penceritaan, idea dan pelakon. Malah, filem ini juga disebut-sebut sebagai karya yang mempunyai keupayaan untuk meraih anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) 2018 tidak lama lagi.

    Biarpun mendapat pujian daripada pengkarya serta pengkritik filem, ditambah pula tercalon di Festival Filem New York dan kategori Grand Prix (Filem Terbaik) pada 12th Five Flavours Asians Film Festival, One Two Jaga sekadar meraih RM343,279.19 selepas dua minggu tayangan.

    2. Rise: Ini Kalilah 

    Filem garapan tiga sutradara berwibawa tempatan yakni Prem Nath, Saw Teong Hin dan Nik Amir dianggap sebuah karya yang memiliki ciri-ciri Malaysia, sama seperti filem Ola Bola yang pecah panggung dua tahun lalu. 

    Mengangkat penceritaan tiga watak utama yang melalui peristiwa Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu, Rise: Ini Kalilah juga dianggap mampu menyamai kejayaan kutipan pecah panggung Ola Bola.

    Apatah lagi barisan pelakon bukan calang-calang kerana popular dan pernah memenangi anugerah antaranya Remy Ishak, Sangeeta Krishnasamy, Sashi Taran dan Jack Tan. Filem ini juga mendapat pujian daripada pengkritik filem tempatan tapi malangnya sekadar meraih kutipan RM58,411.50 selepas dua minggu tayangan.

    3. Blok 404 

    Jenama Blok 404 pernah jadi fenomena pada 2003 sehinggakan pelakonnya, Zamarul Hisham dan Nabila Huda popular sekelip mata. Selepas 15 tahun, Blok 404 ‘dihidupkan’ kembali di bawah arahan Azma Aizal Yusoof dengan beberapa wajah baru seperti Risteena Munim, Nadia Brian, Amar Asyraf dan Aedy Ashraf.

    Ramai meletak harapan filem ini akan kembali ‘menghantui’ peminat judul itu dek adanya elemen seram yang lebih kemas dan menarik. Malangnya selepas dua minggu tayangan, filem yang disifatkan pengkritik tempatan menyamai keseraman filem Hollywood berjudul Saw! sekadar mencatat kutipan RM 220,275.17 saja.

    4. Busker 

    Idea filem ini bersifat urban, segar, diisi pula dengan elemen terkini sesuai untuk penonton remaja dan muda belia. Premis filem juga relevan, barisan pelakon muda berbakat, kisah cinta yang manis dan muzik yang menenangkan pendengar.

    Busker garapan Kye Fariz ini juga mempunyai kerja kamera bagus, sinematografi dan pengredan warna yang menawan. Malangnya, semua elemen itu tidak cukup untuk menarik penonton memberi sokongan sehingga mampu mencatat kutipan sebanyak RM 96,925.75 saja.

    5. Surf This Love 

    Filem ini dianggap sub-genre baru kerana mengetengahkan idea menarik mengenai kisah cinta peluncur ombak. Sinematografi dan kerja kamera yang menarik menjadikan filem arahan Waan Hafiz ini ada tarikan yang boleh menarik penonton muda ke pawagam. Malangnya, filem ini sekadar mencatat kutipan RM47,724.30 saja selepas dua minggu tayangan.

    6. Bukan Cinta Malaikat 

    Jika melihat pada nama pengarah, Aziz M Osman dan barisan pelakon terdiri daripada pelakon popular tempatan dan Indonesia, filem bergenre Islamik dan romantik ini sewajarnya mendapat perhatian.

    Terutama daripada peminat filem yang sentiasa mencari idea segar dan lari daripada genre popular biasa seperti seram dan aksi. Biarpun dari segi idea, sub-genre, pelakon dan pengarah yang ada kredibiliti, filem ini hanya mengutip RM 127,940.79.

    7. Amazing Titanman 

    Filem ini unik sebab genrenya adalah sains fiksyen yang mengisahkan sekumpulan makhluk asing yang datang ke bumi dan menetap di Malaysia lalu menjelajah dengan cara sendiri.

    Ia mempunyai cerita asal dan plot yang menarik, selain elemen CGI (Imej Janaan Komputer) yang agak ‘mewah’. Malangnya selepas dua minggu tayangan filem arahan Eddie Tiger ini sekadar mengutip RM 92,634.05.

    8. Badang

    Filem genre aksi, drama, komedi dan sains fiksyen ini dikecam teruk oleh segelintir pengkritik dan penonton tempatan yang berpendapat ia sebuah filem ‘mengarut’ naratifnya dan barisan pelakon.

    Tapi dari sudut idea dan usaha, terutama dari segi penceritaan, kesan khas (CGI) dan pembikinan, filem ini sewajarnya boleh menjadi setaraf filem Cicakman yang berada di tahap legenda tersendiri. Dihasilkan dengan kos RM2.2 juta, malangnya filem ini sekadar mengutip RM74,148.67 saja selepas dua minggu tayangan.

    9. Wheely 

    Di laman web IMDb yang khusus kepada filem-filem tempatan dan luar negara, filem Wheely mendapat undian 6.2 daripada 10 dan 80 peratus penonton antarabangsa menyukainya lantas menjadikan filem animasi terbitan Kartun Studios arahan Yusry Abdul Halim ada tarikan menarik.

    Malangnya, filem hasil kerja anak tempatan ini tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat tempatan dan sekadar mengutip RM802,047.07 saja di pawagam Malaysia.

    10. Sughamaai Subbulakshmi (With Love, Subbulakshmi) 

    Filem arahan Karthik Shamalan dan lakonan pelakon Tamil tempatan ini menang dua kategori daripada tiga kategori yakni Pengarah Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Norway Tamil ke-9 pada April lalu. 

    Biarpun mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, nasib filem ini hampir sama saja dilalui filem Redha, Interchange dan Jagat apabila kutipan di pawagam tempatan kurang memuaskan.

    Mungkin dek kurang promosi dan perhatian sewajarnya daripada penonton yang mencari kualiti sesebuah karya, filem ini sekadar mencatat kutipan RM 138,970.00 selepas dua minggu tayangan. Art
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Filem Hebat Gagal Pecah Panggung Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top