Sepanjang 7 bulan menguasai tampuk pemerintahan negara, rasanya, inilah sebuah kerajaan yang dilihat cukup pakar dalam membuat pusingan U. Dengan diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang dilihat banyak kali membuat pusingan U dalam tindakannya, langkahnya ini dituruti oleh deretan menteri kabinet beliau yang tidak pernah berhenti dari melakukan tindakan sedemikian.
Pusingan U yang terbaru adalah bagaimana tiga keputusan di ambil beberapa hari yang lalu namun akibat serangan berterusan dari netizen media sosial seperti Facebook dan Twitter, mereka terpaksa menarik balik keputusan yang telah di umumkan secara meluas melalui pelbagai medium media.
Pertama, bagaimana Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik terpaksa membuat pusingan U "mengejut" akibat daripada kenyataan beliau di Parlimen yang mahu memasukkan isu dan skandal 1MDB kedalam silibus matapelajaran Sejarah di sekolah. Alasannya, kes ini perlu di masukkan kedalam silibus berkenaan bagi mendidik anak-anak generasi akan datang supaya tidak mengulangi kesilapan skandal berkenaan.
Tidak sampai 24 jam kemudian, pihak Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan kononnya pihak media telah tersalah melaporkan apa yang diperkatakan oleh menteri berkenaan. Apa yang melucukan adalah, kenyataan yang dibuat olehnya telah disiarkan secara langsung oleh TV1, TV3 dan Astro serta di petik sendiri oleh deretan akhbar mainstream.
Kedua pula adalah bagaimana menteri yang sama terpaksa mengumumkan bahawa skim bayaran balik PTPTN yang diumumkan semalam, digantung setelah mendapat kecaman teruk oleh netizen dan sebahagian besar rakyat Malaysia. Kali ini, bukan media pula disalahkan tetapi, alasan penggantungan berkenaan adalah membolehkan pihaknya mengkaji mekanisme terbaik sebelum perlaksanaan kutipan semula bayaran PTPTN.
Timbul persoalan, adakah pihak kementerian mahupun kerajaan tidak pernah membuat kajian terlebih dahulu sebelum sebarang perlaksanaan dan pengumuman di buat? Perlukah setiap kali menteri membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan rakyat, mereka mengambil pendekatan membuat pusingan U untuk meredakan keadaan?
Ketiga pula bagaimana SUHAKAM terpaksa menangguhkan hari sambutan hak asasi manusia yang dijadualkan berlangsung esok di Petaling Jaya ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Apa yang melucukan adalah, himpunan ini telahpun di war-warkan oleh pihak kerajaan sehingga Perdana Menteri sendiri dilaporkan mengerah kakitangan kerajaan menghadiri himpunan ini.
Ironinya, himpunan ini bertembung dengan himpunan sejuta ummah bagi membantah sebarang ratifikasi perlaksanaan ICERD di Malaysia. Tidakkah penganjur mahupun pihak kerajaan berfikir dahulu sebarang kejadian buruk mungkin akan berlaku seandainya himpunan ini tetap juga diteruskan?
Nampaknya, kerajaan hari ini tidak pernah jemu untuk "menghiburkan" hati rakyat Malaysia dengan siri pusingan U yang adakalanya langsung tidak masuk akal. Menghairankan, ianya seolah-olah menjadi trend apabila mereka mengambil keputusan terlebih dahulu dan akan menariknya semula setelah mendapat kecaman hebat dari rakyat Malaysia.
Tidakkah mereka boleh berfikir dan merencanakan sebarang tindakan terlebih dahulu sebelum bertindak mengeluarkan kenyataan? Perlukah rakyat mengecam terlebih dahulu sebelum mereka yang berada di atas sana menggunakan akal dan fikiran mereka ditempat yag betul?
0 comments:
Post a Comment