BUKTI tampil dengan hala tuju terkini, Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) menayangkan kenderaan masa hadapan X-Concept sempena Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018.
Mengambil reka bentuk asas kenderaan segmen ‘hatchback’, jentera konsep itu kelihatan lebih futuristik apabila gril hadapan dan logo Perodua dengan pencahayaan LED, lampu berbentuk Y, lampu isyarat membelok dinamik dan pintu ‘sway’ tanpa tiang B sebagai elemen uniknya.
Bagi rekaan dalaman, susunan papan pemuka moden mengelilingi panel instrumen TFT, skrin sesentuh bersaiz 12.9 inci dan stereng ‘flat-bottom’ serta kerusi sporty menyerlahkan ciri elegan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, ruang pameran Perodua di KLIMS yang bertemakan Pencahayaan (Illumination) adalah simbolik pendedahan teknologi dan reka bentuk yang dibangunkan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Perodua.
“Kami memperkenalkan X-Concept iaitu kenderaan konsep berteknologi tinggi dalam memenuhi gaya hidup pada masa depan dengan rekaan futuristik dan terkini. X-Concept bukan sekadar kenderaan menepati visi Perodua, lebih daripada itu model kami juga memenuhi elemen gaya hidup dilengkapi Teknologi Terhubung (Connected Technology),” katanya.
Supaya lebih jelas, pengunjung diberi peluang memandu dan merasai sendiri pengalaman bersama model konsep melalui peranti realiti maya (VR). Beliau berkata, maklum balas dan pandangan orang ramai dialu-alukan untuk ditambah baik dalam penghasilan model Perodua baru kelak. Turut dipamerkan Perodua Myvi GT yang sporty dengan bampar hadapan dan belakang gaya agresif, sistem brek dinaik taraf, rim aloi 17 inci, kerusi ‘bucket’ Alcantara dan stereng ‘flat-bottom’. Menerusi kerjasama Daihatsu Motor Company of Japan sebagai rakan teknikal Perodua, turut diperkenalkan powertrain generasi masa hadapan.
0 comments:
Post a Comment