My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 22 August 2016

    Gaya Hidup Jejas Sistem Perkumuhan


    Biarpun sembelit bukan satu subjek yang selesa untuk diperkatakan, masalah ini sering membelenggu dan biasa ‘menyerang’ orang ramai, lebih kerap daripada yang kita sangkakan. Malah mengikut statistik terkini, satu daripada lima orang di negara ini menderita sembelit dalam diam.

    Mungkin kita pernah mendengar keluhan seperti ‘saya sudah makan banyak buah, bersenam dan minum air mengikut apa yang disarankan, tetapi tetap sukar ke tandas’. Hidup dalam suasana serba pantas dan mengejar banyak perkara dalam hidup seharian secara tidak langsung memberi tekanan hingga menjejaskan sistem perkumuhan tubuh.

    Pada masa sama, tabiat pemakanan tidak teratur dan seimbang selain tuntutan kerja yang memerlukan seseorang selalu mengembara, mendedahkan mereka kepada masalah sembelit. Sembelit ialah kesukaran membuang air besar dan ia boleh berlanjutan dalam tempoh lama.

    Biarpun tidak berbahaya, keadaan itu membuatkan seseorang menderita kerana rasa ketidakselesaan dan sakit perut yang dialami. Gaya hidup tidak aktif, sentiasa keletihan, pengambilan makanan berprotein tinggi dan makanan diproses dalam jumlah yang banyak serta kenaikan berat badan melampau juga boleh menjurus kepada masalah sembelit.

    Hampir setiap orang pernah mengalami sembelit sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka, tetapi kebiasaannya masalah itu akan berlalu sebaik seseorang meningkatkan pengambilan air dan serat, serta melakukan senaman.

    Mengubah gaya hidup boleh membantu mengelak masalah sembelit namun ada kalanya ia tidak mencukupi, malah sembelit tetap tidak reda biarpun pesakit sudah melakukan apa yang disarankan. Ketua Perubatan Boehringer Ingelheim Dr Mogana Sivalingam berkata, selain kurang amalan pemakanan sihat dan senaman, sembelit juga boleh disebabkan oleh persekitaran baru yang mengubah corak pemakanan atau aktiviti ke tandas seseorang.

    Katanya, beberapa jenis ubat termasuk dalam merawat tekanan darah tinggi turut meningkatkan risiko seseorang berhadapan dengan sembelit. “Cara terbaik menjaga kesihatan usus dan mengelak sembelit adalah dengan mengambil makanan kaya serat daripada sayuran atau buah-buahan sekurang-kurangnya 25 gram setiap hari.

    “Tidak perlu makan sekali gus tetapi meningkatkan kuantiti dan jenisnya untuk dinikmati sepanjang hari. Minum air sebanyak 1.5 hingga dua liter iaitu kira-kira lapan gelas setiap hari juga boleh memastikan gerakan najis lebih lancar,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada pelancaran laman web maklumat mengenai sembelit dan forum perbincangan masalah terbabit, myconstipationrelief.com/my dan pengenalan laksatif, Dulcolax pada satu majlis, baru-baru ini.

    Selain itu, Dr Mogana berkata, apabila berada di tempat baru, seseorang tidak harus menahan keperluan ke tandas biarpun lebih teruja untuk melihat tempat baru. Pemakanan juga harus dijaga dengan memastikan pengambilan air dan serat mencukupi. Katanya, pemakanan yang sihat perlu diiringi dengan gaya hidup aktif kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

    Bagaimanapun, kadangkala masalah sembelit tetap berlaku akibat gerakan usus terlalu perlahan biarpun pesakit sudah makan serat dan minum air dalam jumlah banyak, selain bersenam. “Apabila ia berlaku, lebih baik sekiranya pesakit bertemu doktor mendapatkan rawatan atau mencari alternatif di pasaran untuk membantu menyelesaikan masalah sembelit.

    “Malah, terdapat banyak pilihan ubat sembelit di pasaran dan boleh dibeli tanpa preskripsi doktor kerana ia selamat,” katanya.

    Dia berkata, sembelit kebiasaannya boleh berlarutan sehingga dua ke tiga minggu dan mereka yang mengalaminya harus cuba merawat dengan cara makan serat, minum air banyak dan bersenam, sebelum membuat keputusan mengambil sebarang ubat. Katanya, masalah sembelit yang tidak juga selesai perlu dirujuk kepada doktor supaya punca sebenar keadaan itu dapat dikenal pasti.

    Ketua Penjagaan Kesihatan Pengguna Dulcolax Malaysia/Singapura, Carmenza Alarcon berkata, pengguna tidak seharusnya takut mendapatkan rawatan awal sembelit kerana ia boleh menjurus kepada ketidakselesaan dan kesakitan pada bahagian abdomen sekiranya dibiarkan berlanjutan. 

    Menurutnya, berdasarkan kajian dijalankan pihaknya baru-baru ini, ramai melengah-lengahkan rawatan setiap kali mereka mengalami sembelit kerana menganggap laksatif boleh memberi kesan terlalu kuat atau mengganggu sistem perkumuhan semula jadi.

    “Apabila najis menjadi keras, membuang air besar menjadi lebih sukar dan boleh membawa kepada masalah lain seperti buasir. Pengambilan tablet laksatif sebelum tidur boleh membantu anda membuang najis lebih mudah sebaik bangun daripada tidur,” katanya.

    Pada majlis itu, turut hadir penyanyi tempatan, Atilia Haron, pelakon dan pengamal gaya hidup sihat, Hannah Lo dan hos televisyen, Adam Carruthers yang berbincang mengenai pengalaman masing-masing. Art
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gaya Hidup Jejas Sistem Perkumuhan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top