Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mencabar barisan pemainnya khususnya 13 muka baru untuk membuktikan kemampuan merebut tempat dalam skuad utama bagi menghadapi kejohanan Piala AFF di Yangon, Myanmar pada November ini.
Ketiadaan empat tonggak yang bersara dari pentas antarabangsa membabitkan kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal selain masalah kecederaan menyaksikan hanya 11 daripada 24 pemain skuad Jelajah Oceania 2016 pada Jun lalu, dikekalkan.
Bagi Kim Swee, beliau menaruh harapan tinggi kepada pemain kali ini biarpun ada antara mereka tidak pernah beraksi di pentas antarabangsa termasuk bekas kapten Harimau Muda A Irfan Fazail, Amer Saidin (Johor DT II) , S Veenod (Selangor), Hafizul Hakim Khairul Nizam (Perak), Fakrul Aiman Sidid (PDRM) dan Safawi Rasid (T-Team).
“Rata-rata pemain dipanggil kali ini membabitkan pemain muda yang mempunyai pengalaman antarabangsa di peringkat remaja sebelum ini dan dipanggil semula untuk skuad senior bagi memberi peluang kepada mereka membuktikan sesuatu.
“Sebagai contoh, Irfan sebelum ini mempunyai pengalaman luas beraksi bersama Harimau Muda di Sukan SEA dan Kelayakan Olimpik. Jadi pasti ini cabaran buat dirinya termasuk Amer Saidin dan Wan Zack Haikal yang dipanggil semula untuk membuktikan yang mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Selain enam pemain itu, Kim Swee turut memanggil semula pemain seperti Khairulazhan Khalid (Selangor), Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Saad (Perak), Ronny Harun (Sarawak) dan Matthew Davies (Pahang) yang disisihkan sebelum ini.
Penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Junior Eldstal, Fazly Mazlan, Mahalli Jasuli, Shahrom Kalam dan Christie Jayaseelan antara yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan manakala penjaga gol Farhan Abu Bakar, S Chanthuru, Amirulhisyam Awang Kechik dan S Kumaahran tiada dalam senarai atas alasan prestasi semasa.
Dengan saingan Piala AFF semakin hampir, Kim Swee mahu kesemua pemain segera mendapat rentak bermula dengan aksi persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.
“Sudah tentu tempoh masa singkat untuk kem latihan pusat kali ini dengan jadual yang padat dan tidak banyak perkara yang boleh saya lakukan. Jadi apa yang perlu saya fikir sekarang ialah membentuk kombinasi tertentu selepas kesebelasan ketika bertemu Timor-Leste dan siri Jelajah Oceania tidak dapat bersama kali ini.
“Ini pemain terbaik yang saya lihat ketika ini dan mereka harus membuktikan yang mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa sebelum saya memutuskan untuk persiapan yang akan datang.”
Kesemua pemain yang disenaraikan itu perlu melaporkan diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin ini kecuali tiga pemain - Adam Nor, Davies dan Safawi yang akan menyertai kem latihan pusat diri 31 Ogos ini selepas mereka selesai beraksi bersama skuad B-22 negara untuk perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Bahrain B-22 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.
0 comments:
Post a Comment