PERMAINAN realiti yang menggunakan gajet sebagai perantara, Pokemon Go secara beransur-ansur menawan dunia maya. Senario di Malaysia sangat berbeza kerana ada pihak yang menyokong pengenalan permainan ini. Mereka mendakwa ia boleh membantu individu yang mengalami masalah gangguan psikologi seperti kebimbangan dan kemurungan.
Sebagai contoh, individu yang mengalami kemurungan dapat melupakan pemikiran negatif apabila bermain permainan ini, sekali gus secara tidak langsung mampu bangkit dan meneroka dunia luar. Selain kemurungan, pakar psikologi juga mengetengahkan bahawa Pokemon Go sebagai satu kaedah yang dapat membantu mereka yang mengalami masalah serius seperti fobia dan kebimbangan sosial.
Ia adalah satu motivasi yang sangat baik bagi golongan itu untuk membangkitkan semula bersemangat masing-masing. Namun, tidak kurang juga ada pihak yang bimbang jika permainan realiti ini tidak diurus dengan baik, ia akan melalaikan masyarakat terutamanya kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.
Kebanyakan ibu bapa mula sedar tentang risiko kegunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak dan berusaha mencari alternatif agar anak-anak tidak leka bermain alatan elektronik tersebut. Ibu bapa muda kini berusaha memahami sikap semula jadi kanak-kanak yang suka bermain dan cepat bosan yang kadangkala didorong oleh sikap mereka sendiri kerana tidak memberikan masa secukupnya untuk anak-anak.
Ibu bapa yang mengikuti perkembangan ilmu keibubapaan akan melibatkan anak-anak mereka dengan aktiviti-aktiviti yang lebih bermakna seperti melakukan aktiviti fizikal iaitu bersukan dan berkebun. Undang-undang disebabkan pengaruh gajet juga boleh mengakibatkan kualiti tidur anak-anak terganggu, keseimbangan penggunaan gajet dalam hidup golongan ini perlu dicapai.
Anak-anak yang suka bermain telefon pintar atau televisyen sebelum tidur sering mengalami keletihan pada waktu siang dan mereka juga sukar bangun lebih awal. Bukan semua gajet memberi kesan negatif, ia akan menjadi positif dan berguna sekiranya diurus dengan baik.
Teknologi ini mempunyai kebaikan dan keburukan terhadap perkembangan tumbesaran kanak-kanak. Masyarakat masih menunjukkan bahawa kita terbuka dengan perkara baharu. Kita sedia berdepan perubahan dengan menyesuaikan diri bersama perkembangan teknologi serta perubahan sosial semasa.
Di Malaysia, masih belum ada undang-undang yang mengehadkan aplikasi permainan mudah alih percuma yang akan diperkenalkan di negara ini walaupun sesetengah negara telah berbuat demikian. Walaupun aplikasi permainan itu akan diterima di negara ini, masyarakat dinasihatkan agar tidak terlalu taksub sehingga mengalih tumpuan daripada perkara yang harus diutamakan.
Setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan Pokemon Go sesuatu yang negatif, namun jika sehingga seseorang itu terganggu, mengabaikan hubungan atau pelajaran, ia pasti bukan sesuatu yang baik seperti yang berlaku menerusi aplikasi gajet yang lain. Pokemon Go adalah permainan konvensional ‘sembunyi dan cari’ yang diangkat ke tahap baharu yang memerlukan pemain mencari serta melawan karakter maya, berdasar lokasi dunia sebenar yang dikesan menerusi gajet.
Konvensional
Sebenarnya, Pokemon Go hanyalah permainan konvensional yang diberi nafas baharu melalui perantara gajet untuk memenuhi keperluan semula jadi manusia yang suka bermain. Aplikasi ini dapat diurus dengan baik jika ahli keluarga memperkenalkan semula permainan antaranya monopoli, skrabel, catur, dan congkak.
Sebagai ibu bapa yang mempunyai kemahiran teknologi, kita juga digalakkan terlibat secara aktif dengan anak kita apabila mereka menggunakan teknologi-teknologi interaktif untuk keperluan belajar. Menyertai kumpulan sukarelawan juga dapat menggalakkan interaksi sosial dan bantu antara satu sama lain selain mengurangkan masa yang dihabiskan bersama gajet mereka.
Para ibu bapa pada era teknologi ini perlu melihat penggunaan media seperti gajet seperti menilai cara pengambilan makanan untuk anak-anak. Semuanya adalah mengenai isu kesederhanaan dan pemilihan kandungan yang betul.
Sebagai ibu bapa, kita tidak perlu khuatir untuk menggunakan teknologi kerana kehidupan kita tidak boleh lari daripada pengenalan pelbagai gajet dan aplikasi baharu. Sebagai ibu bapa juga, kita harus sedar dan mengetahui cara untuk mengurus penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak dan bila masa yang sesuai untuk berhenti menggunakannya. Selamat mencuba.
0 comments:
Post a Comment