Biasanya, apabila juara bertahan Liga Perdana Inggeris bertemu naib juara, ia pasti menjanjikan pertemuan penuh dengan keyakinan. Bagaimanapun, faktor itu tidak akan dapat dilihat apabila Leicester melayan kunjungan Arsenal malam esok. Keyakinan kedua-dua pasukan seakan-akan hilang apabila masing-masing tewas perlawanan pembukaan musim baru.
Pengurus Leicester Claudio Ranieri (gambar) sudah mula bercakap mengenai usaha pasukannya untuk tidak tersingkir ke liga bawahan, apatah lagi mereka tewas 1-2 di tangan pasukan baru dinaikkan ke Liga Perdana, Hull.
Arsene Wenger pula mengaku Arsenal masih belum sedia untuk mengharungi perlawanan pembukaan dan akibatnya, mereka tewas 3-4 di tangan Liverpool. Selepas keputusan menentang Hull, apa yang paling ditakuti Ranieri mula berlaku dan benteng pertahanan Leicester bagaikan sukar untuk bersaing musim ini selepas kehilangan pemain tengah N’Golo Kante yang menyertai Chelsea.
Selepas menyerlah musim lalu menerusi serangan balas pantas, Leicester berdepan kesukaran untuk mengubah corak permainan dan kaedah itu tidak dapat dijalankan ketika menentang Hull. “Kami perlu membetulkan keadaan secepat mungkin, bersiap untuk aksi selepas ini dan mendapat keputusan diperlukan,” kata kapten Wes Morgan.
“Kami akan bermain di tempat sendiri dan mahu mempamer persembahan baik.”
Khabar luar padang mungkin boleh menjadi faktor penaik semangat apabila pemain tonggak Algeria Riyad Mahrez menjadi antara pemain paling menyerlah musim lalu bersama-sama Jamie Vardy, menandatangani kontrak lanjutan hingga 2020.
Tiket untuk menyaksikan perlawanan di Stadium King Power itu sudah habis terjual dan aksi itu akan menyaksikan Vardy yang terlepas beberapa peluang ketika menentang Hull, akan bertemu pasukan pernah memohon untuk mendapatkan khidmatnya sebelum musim baru bermula.
Bagi peminat Arsenal pula, mereka pasti mengharapkan pemain direhatkan ketika menentang Liverpool, akan diturunkan terutama tonggak pertahanan Laurent Koscielny.
0 comments:
Post a Comment