TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah kekal menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi rombakan pucuk pimpinan badan induk itu bakal berlaku pada Kongres FAM tahun depan.
Itu yang didedahkan oleh timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah semalam bahawa barisan Exco badan induk bola sepak negara itu telah memberikan mandat kepada ahli-ahli gabungan untuk menentukan pucuk kepimpinan baharu pada 2017 nanti.
Kongres tersebut diadakan awal setahun bagi memilih kepimpinan baharu FAM walaupun tempoh kepimpinan sekarang hanya akan berakhir pada Mei 2018. Keputusan itu secara tidak langsung menggambarkan barisan Exco FAM telah menolak hasrat Tengku Abdullah untuk melepaskan jawatan secara ‘rasmi’ buat kali kedua selepas kali pertama pada November tahun lalu.
Menurut Afandi, jawatan-jawatan lain juga bakal dipertandingkan selain kerusi Presiden FAM dan semua warga Malaysia boleh tampil untuk merebut mana-mana jawatan yang dipertandingkan nanti. “Barisan kepimpinan sekarang akan kekal sehingga ke tarikh berlangsungnya Kongres FAM tahun depan.
“Buat masa ini, kita meminta pihak seketariat mencadangkan tarikh untuk kongres itu nanti berdasarkan peraturan yang ditetapkan dalam statut FAM bagi mendapat pengesahan pada mesyuarat Exco selepas ini.
“Tahun ini, kami ada agenda yang perlu dilaksanakan iaitu penyertaan skuad bola sepak negara pada Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung pada November nanti dan atas sebab itu, kami tidak mahu terburu-buru membuat keputusan berhubung proses untuk merombak kepimpinan FAM,” kata Afandi pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Hajat Tengku Abdullah untuk melepaskan jawatan bukanlah suatu perkara baharu kerana baginda sebelum ini pernah menyuarakan hasrat yang sama selepas menyaksikan skuad Harimau Malaysia diaibkan dengan kekalahan 0-10 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, September tahun lalu.
Namun begitu, ketika itu barisan Exco FAM telah menolak surat peletakan jawatan yang diserahkan pada November tahun lalu sebagaimana ahli-ahli Exco FAM memohon baginda untuk terus menerajui FAM sehingga tamat penggal 2018.
Bagaimanapun, Exco FAM sebelum ini dikatakan tidak mampu lagi untuk menolak permintaan Tengku Abdullah yang sudah tidak mahu campur tangan dalam urusan pentadbiran FAM. Untuk memburukkan lagi keadaan, FAM pula didakwa melakukan penyelewengan seperti yang didakwa oleh pemilik kelab Johor Darul Takzim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sebagai rekod, Tengku Abdullah dipilih sebagai presiden baharu FAM bagi penggal 2014-2018 selepas mendapat mandat daripada para perwakilan pada Kongres FAM ke-50 di Hotel Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam, Mei 2014.
0 comments:
Post a Comment