Mengenali Alena Murang ternyata muzik itu merentasi akar budaya dalam membentuk personaliti. Dia berdarah kacukan Kelabit, Inggeris dan Itali, tetapi tidak kebaratan. Obsesi muziknya hanya pada sape, instrumen bertali yang sering dimainkan masyarakat peribumi Sarawak, Orang Ulu. Terbit rasa kagum pertama kali bertentang mata dengan personaliti ini.
Biarpun bukan lahir sebagai anak peribumi sejati, tetapi cintanya pada petikan muzik sape itu cukup tinggi. Sejak berusia enam tahun, Alena, 27, sudah mula dipengaruhi muzik tradisional Kelabit, Kenyah dan Penan. Ketika usianya menginjak 14 tahun, Alena bertuah dapat belajar bermain sape dengan sepupunya, Mathew Ngau Jau yang juga seorang pemuzik sape terkenal di rantau ini.
Sejak usia semuda itu, gadis kelahiran Kuching, Sarawak ini tidak mensia-siakan bakatnya. Malah, dia kini terus mengorak langkah sebagai pemuzik sape wanita yang cukup berbakat dari Bumi Kenyalang.
“Sape ialah alat muzik tradisional yang dahulunya hanya dimainkan lelaki, biasanya pada acara kerohanian dan majlis tertentu. Tapi itu dulu, sekarang tidak lagi. Alunan muzik daripada sape kini semakin diterima ramai, bahkan sering dipersembahkan bagi mengiringi tarian, malah boleh didengari ketika parti dan konsert,” katanya ketika ditemui di Rainforest World Music Festival (RWMF) 2016, di Kuching, baru-baru ini.
Alena berkata, dia mula serius sebagai pemuzik sape, begitu juga sebagai penggiat muzik tradisional dan seni persembahan sejak 2013. “Penerimaan masyarakat terhadap muzik tradisional ini menyedarkan saya, ada ramai yang meminati seni budaya tempatan, cuma tidak banyak pendedahan mengenainya.
“Tetapi, sambutannya tetap menggalakkan. Ini mendorong saya meningkatkan kesedaran dan minat orang ramai terhadap muzik tradisional terutama membabitkan masyarakat peribumi Sarawak,” katanya.
Mengenai perkembangan karier muziknya, Alena mendapat inspirasi dan galakan daripada Mathew yang menempa nama sebagai pemuzik sape terkenal. Hasil usaha gigihnya memperjuangkan muzik sape, Alena bersama kumpulan muziknya, Diplomat of Drum menjelajah Amerika Syarikat selama tujuh minggu memperkenalkan muzik tradisional itu.
“Melalui siri jelajah itu, saya bukan saja membawa muzik sape di New York, Amerika Syarikat, malah sehingga ke London dan lebih 20 bandar utama di dunia. Muzik tradisional unik kerana ia mengikut budaya sesuatu kaum itu sendiri. Saya harap lebih ramai anak Sarawak mengikut jejak langkah saya untuk mempertahankan seni tradisional,” katanya.
Bagi memastikan kesinambungannya dalam memperjuangkan seni tradisional, terutama bermain muzik sape, Alena kini memulakan kelas sape di Kuala Lumpur sejak tahun lalu. Anak muridnya bukan saja dalam kalangan peminat muzik tempatan, malah dari Amerika Syarikat, Mexico, Poland dan Indonesia.
“Nilai seni tradisional ini tidak ternilai harganya, tiada pengganti,” katanya. Alena turut berharap, lebih banyak warisan muzik Sarawak dapat diteroka dan dipelajari supaya dapat diketengahkan di peringkat global.
0 comments:
Post a Comment