Penguasaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terhadap 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran keputusan menerima masuk lima Ahli DUN tidak akan menjejaskan prinsip perkongsian kuasa antara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).
Jaminan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem itu adalah susulan penerimaan masuk lima ADUN yang sebelum ini bertanding sebagai calon langsung BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN11), Mei lepas yang menyaksikan 82 kerusi dipertandingkan.
“Meskipun secara keseluruhannya kita (PBB) memiliki majoriti tersendiri, ia tidak bermakna kita tidak bersedia untuk berkongsi kuasa dengan parti-parti komponen (BN) yang lain.
“Kabinet negeri masih kekal sedemikian rupa. Ia merangkumi (ADUN daripada) PBB, PRS, SUPP dan SPDP,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan keputusan itu yang turut dihadiri dua timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg serta Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Mereka yang terbabit ialah ADUN Serembu Miro Simuh, ADUN Bukit Semuja John Ilus, ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, ADUN Bekenu Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang.
“Kita telah memutuskan secara prinsipal permohonan lima ADUN ke dalam PBB. “Kita akan menentukan perinciannya kemudian dan berpandukan prosedur mereka perlu memohon menerusi ranting terdekat, sebelum dirujuk ke Bahagian (PBB) dan Majlis Kerja Tertinggi,” ujar Adenan.
Miro, Gerawat dan John Ilus sebelum ini merupakan ahli PBB. Miro dan Gerawat keluar parti apabila syarat untuk bertanding sebagai calon langsung BN berkehendakkan demikian. Manakala, Rosey dan Paulus sebelum ini antara pemimpin Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang keluar parti juga untuk bertanding sebagai calon langsung BN.
Miro ketika ditemui berkata, selama 100 hari selepas PRN11, beliau seolah-olah tidak ada rumah untuk berteduh. “Terima kasih kerana dapat masuk PBB, satu penantian yang lama. Selepas 100 hari (selepas pilihan raya) saya diterima masuk PBB,” ujarnya. Mengenai kedudukan permohonan bekas presiden TERAS yang juga ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, Adenan berkata ia masih dipertimbangkan.
0 comments:
Post a Comment