My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 21 August 2016

    Tong Dram Diubah Jadi Perabot


    BAHANG panas tidak menjadi halangan kepada pemuda itu menjalankan kerja memotong dan mengimpal tong minyak menggunakan mesin pemotong keluli. Percikan api sewaktu kerja-kerja memotong itu dilakukan menambahkan lagi rasa bahang sementelah ia dilakukan pada waktu tengah hari. 

    Bagi Ku Muhammad Faiz Ku Aziz, 30, sudah menjadi rutin pekerjaannya setiap hari untuk memotong dan membentuk tong minyak atau lebih dikenali sebagai tong dram menjadi barangan perabot seperti kerusi dan meja mengikut tempahan pelanggan atau custom made.

    Memulakan perbualan, pemuda yang mesra disapa Faiz itu memberitahu, dia mula menjalankan perniagaan menghasilkan barangan perabot menggunakan tong dram kira-kira dua tahun lalu. Katanya, idea untuk menghasilkan barangan perabot menggunakan tong dram tercetus sewaktu dia berkunjung ke Bangkok, Thailand pada 2014.

    “Sewaktu berada di pasar Chatuchak di Bangkok, terdapat kedai yang menjual barangan terpakai antaranya tong dram minyak yang telah diubah suai menjadi perabot seperti kerusi dan meja. Saya begitu tertarik melihat kreativiti serta hasil perabot yang dibuat dan cuba untuk membuatnya sendiri,” tutur Faiz yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai jurulatih di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama lima tahun.

    Selepas mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai pelatih di PLKN, Faiz memulakan langkah dengan mencuba sendiri membuat perabot menggunakan tong dram yang dibeli daripada kedai barangan terpakai. Cabaran Mengimbas semula perabot pertama yang dihasilkan, Faiz telah membuat sebuah kerusi daripada tong dram dan mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan hasil pertamanya itu.

    Sewaktu permulaan, Faiz mengakui berdepan dengan cabaran sementelah dia tidak pernah mengikuti apa-apa kelas praktikal atau kursus dalam bidang industri dan pembuatan. “Saya juga tidak mempunyai alatan yang lengkap seperti mesin pemotong dan terpaksa meminjam daripada rakan untuk membuat kerja-kerja memotong tong dram,” jelas Faiz.

    Selepas berjaya menghasilkan perabot pertama untuk kegunaan sendiri, Faiz berasa yakin untuk menceburi bidang pembuatan perabot menggunakan tong dram ditambah dengan sokongan ahli keluarga yang banyak membantu terutama dari segi modal.

    Dengan RM3,000 sebagai modal permulaan, Faiz mula mencari peluang dengan mendapatkan tempahan bermula daripada kenalan terdekat yang tertarik dengan hasil perabot tersebut. Ditanya tentang bekalan mendapatkan tong dram dalam jumlah yang banyak, Faiz mendedahkan, dia memperoleh bekalan tong dram yang dibeli daripada kedai menjual barangan terpakai di sekitar Taiping.

    Bercerita tentang keistimewaan perabot tong dram yang dihasilkan, Faiz tanpa teragak-agak memberitahu pasaran perabot seperti yang dia hasilkan masih baharu di Malaysia dan tidak banyak pengusaha yang menjalankan perniagaan sama sepertinya. Malah, terdapat dalam kalangan pembelinya langsung tidak pernah melihat perabot yang diperbuat daripada tong dram dan terus membuat tempahan untuk memilikinya.

    Konsep industri Selepas mendapat maklum balas positif daripada pembeli, Faiz tanpa teragak-agak kini telah membuka sebuah syarikat di bawah jenama MANMADE.CO pada 2 Disember 2014 dengan slogan we love oil barrels.

    Walaupun baharu setahun jagung menjalankan perniagaan di bawah jenama MANMADE.CO, Faiz mengakui perusahaannya sedang berkembang pesat dan mula dikenali apabila mendapat tempahan daripada pelanggan di seluruh Malaysia.

    “Selain untuk kegunaan di rumah, saya juga mendapat tempahan daripada pemilik kedai atau kafe yang ingin menjadikan perabot MANMADE.CO sebagai sebahagian dekorasi premis mereka,” tutur lelaki yang berstatus bujang itu.

    Dalam sebulan, Faiz mampu menghasilkan 10 set perabot dengan setiap satu set mempunyai dua buah kerusi dan satu meja pada harga yang cukup berbaloi. FAIZ sedang melakukan kerja memotong tong dram dengan menggunakan mesin gergaji elektrik.

    Bahkan, perabot tong dram yang dihasilkan Faiz turut menarik perhatian pengusaha butik pengantin yang tertarik untuk menyewa perabot tersebut yang menjadi sebahagian dekorasi pada pelamin pengantin. Bukan itu sahaja, selain kerusi dan meja, Faiz juga membuat barangan lain untuk tempahan pelanggan seperti lampu hiasan, rak pameran dan bangku.

    Mengetengahkan konsep industri, Faiz yang juga pengasas MANMADE.CO kini mempunyai tiga orang kru yang bertindak sebagai tenaga kerja membantunya menyiapkan tempahan pelanggan. Bagi sebuah kerusi, harga yang ditawarkan adalah serendah RM350 dan RM1,050 bagi satu set perabot yang merangkumi dua buah kerusi dan sebuah meja.

    “Saya bersyukur apabila perancangan awal sekadar suka-suka akhirnya memberi rezeki tetap kepada saya,” ujar Faiz yang mengubah konsep recycle kepada up-cycle dengan memberi sentuhan baharu pada barang-barang terpakai.

    Menjadikan kerjanya sebagai sumber pendapatan tetap, Faiz ingin membuka mata banyak pihak tentang perusahaannya yang mampu berkembang dan diterima oleh masyarakat, namun pada masa yang sama sedikit sebanyak ia mampu mengurangkan pembuangan barangan terpakai.

    Merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan perabot tong dram yang dihasilkan, Faiz berharap dia dapat mengetengahkan idea-idea baharu yang lebih menarik dan dapat mengembangkan jenama MANMADE.CO di seluruh Malaysia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tong Dram Diubah Jadi Perabot Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top