Berbicara tentang sukan di Malaysia sememangnya banyak yang melucukan. Manakan tidak, boleh dikatakan segala perkara mengenai sukan pasti tidak dapat lari dari unsur politik. Seolah-olah mengharumkan nama negara merupakan perkara kedua selepas menyelitkan unsur politik dalam persatuan sukan masing-masing.
Sebut sahaja apa jenis persatuan sukan di negara ini yang memang mempunyai unsur politik didalamnya. Kesemua persatuan sehingga ke atlet yang dilahirkan, sedikit sebanyak akan membawa idea politik dalam setiap acara sukan yang mereka sertai.
Sebagai contoh, bola sepak. Tindakan exco FAM yang hampir kesemuanya adalah pemimpin parti politik yang langsung tidak pernah bermain mewakili mana-mana pasukan diletakkan sebagai penguasa persatuan, hasilnya, pasukan kebangsaan turut terheret sama dalam apa sahaja kemelut politik yang membelenggu FAM.
Malah, ada dikalangan pemain juga turut terikut-ikut dengan trend politik sehingga sanggup menolak mewakili negara hanya disebabkan duit poket dan bimbang masa depan dalam kelab menjadi kelam. Inilah politik sukan yang menghancurkan bolesepak negara sejak lebih dua dekad lalu.
Terbaharu, tindakan pemenang pingat gangsa olimpik Rio 2016 dalam acara keirin, Azizulhasni Awang yang memuat naik status kritikannya terhadap Menteri Besar Terengganu, Tuan Haji Ahmad Razif dilaman sosial Facebook miliknya, telah mengundang pelbagai reaksi dikalangan peminatnya.
Hanya disebabkan kerajaan Terengganu tidak membalas permintaannya untuk mendapatkan sebuah basikal roadbike bagi persediaan untuk ke sukan olimpik, Azizul dengan lantang menghentam Ahmad Razif kononnya Menteri Besar berkenaan memilih untuk tidak membantunya atas sebab dia berpengkalan di luar negara.
Sepatutnya sebagai atlet kebangsaan, keperluan seperti itu sepatutnya ditujukan kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana kementerian inilah yang menjaga kebajikan atlet negara secara keseluruhannya. Azizul sebenarnya sudah terlepas dari penjagaan Majlis Sukan Terengganu kerana dia kini sememangnya dibawah naungan KBS dan juga para penajanya.
Justeru amat sukar difahami, kenapa Azizul lebih memilih untuk menghentam kerajaan Terengganu hanya disebabkan kegagalannya mendapatkan sebuah basikal roadbike. Adakah KBS langsung tidak membantunya untuk mendapatkan basikal berkenaan? Adakah terdapat motif politik dalam status yang dimuat naik olehnya?
Percayalah, sukan negara tidak akan mampu melonjak kemana-mana dalam peringkat antarabangsa jika pengaruh politik masih menebal dalam sanubari pengurusan persatuan mahupun para atlet. Sewajarnya, semua pihak meletakkan kepentingan negara jauh lebih tinggi dari hanya menjaga reputasi sendiri sebagai ahli politik atau ahli sukan "tersohor" dunia.
0 comments:
Post a Comment