My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 24 August 2016

    Padi Tanaman Terpenting Di Sabah

    TANDA KENANGAN: Idrus (kanan) menerima cenderahati daripada Pengurus Besar PPK Kinabalu, Sairin.

    Kerajaan melalui Jabatan Pertanian Sabah telah meletakkan sektor pertanian khususnya tanaman padi sebagai yang terpenting dengan memberikan penekanan dalam pembangunan sektor itu. Pengarah Pertanian Sabah Idrus Shafie berkata untuk menyahut seruan itu, peruntukan sekitar RM19 juta setahun telah dibelanjakan jabatan dalam Rancangan Malaysia RMK-10 untuk pembayaran subsidi pembajakan di seluruh Sabah.

    “Keperluan beras negeri Sabah pada tahun 2013 ialah 390,668 metrik tan (MT) untuk menampung keperluan penduduk seramai 3.4 juta orang berbanding pengeluaran 23.44 peratus atau 73,130 MT. Ini bermakna terdapat kekurangan sebanyak 76.56 peratus atau 317,538 MT, di mana sejumlah 209,568 MT terpaksa diimport dari luar negara.

    “Walaupun terdapat peningkatan keluasan penanaman padi di beberapa daerah, namun pada keseluruhannya keluasan fizikal padi di negeri ini didapati menurun akibat ditukar kepada kegunaan lain. Pada tahun 2013, dianggarkan keluasan fizikal pada 32,400 hektar berbanding 35,601 hektar pada 2010,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penangguhan Kursus Motivasi dan Peningkatan Hasil Padi Ke Arah 10MT/ha Melalui Amalan Pertanian Baik 2016 di sini. Menurut Idrus, Laporan Keluasan dan Pengeluaran Tanaman Pertanian 2013 Jabatan Pertanian Sabah menunjukan jumlah keluasan kawasan padi sawah bertanam di negeri ini  pada 2013 ialah 38,484 hektar berbanding keluasan fizikal 35,601 hektar pada 2010.

    “Jika dibandingkan pencapaian keluasan penanaman pada 2012, terdapat penurunan sebanyak 14 peratus (5,316 hektar) iaitu 37,976 hektar yang disebabkan isu di luar kawalan jabatan di beberapa daerah utama penanaman padi seperti Pitas, Kota Belud, Papar, Tenom, Beaufort, Penampang dan Sipitang,” katanya.

    Bagaimanapun jelasnya, pencapaian pengeluaran hasil padi 2013 tidak jauh berbeza berbanding hasil tahun-tahun sebelumnya iaitu 102,525 MT dengan purata hasil sebanyak 3.14 MT/hektar. Menyentuh Tahap Sara Diri (SSL), Idrus memberitahu ketika ini ia berada pada paras sekitar 30 peratus setiap tahun dan berharap ia akan meningkat sehingga mencapai 60 peratus.

    “Justeru, saya berharap agar semua pegawai pertanian daerah yang terlibat dengan tanaman padi akan terus berusaha melaksanakan aktiviti meningkatkan keluasan tanah sawah yang bertanam melalui pelbagai program jabatan terutama sekali kawasan baik (K1).

    “Membantu membangunkan kelompok-kelompok pengeluar padi komersil, menerapkan teknologi terkini seperti Teknologi Peningkatan Hasil Padi Ke Arah 10MT sehektar, mengamalkan pengurusan amalan pertanian baik (GAP) di samping memberi perhatian kepada potensi penglibatan sektor swasta dari segi bilangan keluasan, pelaburan dan sumbangan hasil padi,” katanya.

    Terdahulu dalam ucapannya, Idrus berkata keluasan fizikal sawah padi bertanam bagi Daerah Ranau adalah sekitar 550 hektar setahun atau 43.6 peratus daripada sasaran kawasan berdaftar 1,262 hektar. 

    “Keluasan menurun pada tahun lalu berbanding 858 hektar pada 2014 disebabkan oleh bencana alam (gempa bumi) yang melanda Ranau pada 5 Jun 2015, mengakibatkan banjir lumpur menjejaskan sistem pengairan ke sawah padi.

    “Berdasarkan purata hasil padi 4.5 MT/hektar, anggaran tahunan hasil pengeluaran padi di daerah ini ialah 3,937 MT atau 2,480 MT/tahun beras, dan jumlah itu merupakan 0.6 peratus sahaja daripada keperluan beras negeri Sabah setiap tahun.

    “Pengeluaran yang rendah ini adalah disebabkan beberapa faktor seperti masalah kekurangan jentera pembajak, masalah pengairan, bencana alam dan faktor pengurusan tanaman di peringkat ladang,” jelas beliau.

    Idrus berkata sebanyak RM344,220 atau 2.06 peratus daripada peruntukan subsidi pembajakan Jabatan Pertanian Sabah adalah untuk pembayaran subsidi pembajakan sawah petani di daerah Ranau seamai 622 orang dengan keluasan sawah 550 hektar. Katanya jumlah itu tidak termasuk pembayaran insentif peningkatan hasil, tambahan bantuan pembajakan dan bekalan baja.

    “Adalah diharapkan dengan adanya sokongan dan bantuan daripada pihak jabatan dan agensi yang lain, para pengusaha akan terus meningkatkan pengeluaran padi mereka dengan menerapkan teknologi terkini,” katanya.

    Beliau juga menjelaskan jabatan menghadapi pelbagai isu dan masalah berkaitan bidang pertanian khususnya tanaman padi di seluruh daerah penanaman padi di negeri ini terutamanya kekurangan jentera pembajak. Kursus sehari anjuran bersama Pejabat Pertanian Ranau dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu itu disertai kira-kira 100 orang terdiri para petani yang mengusahakan tanaman padi di Ranau.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Padi Tanaman Terpenting Di Sabah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top