My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 30 August 2016

    Noorashima Gadis 'Pomen'


    Kotor minyak hitam yang meliputi jari halusnya tidak diendahkan. Bahkan ia menjadi ‘penyeri’ dan bukti yang menunjukkan kesungguhannya untuk bergelar ‘pomen’ di bengkel ayahnya. Sejak tiga tahun lalu sebaik menamatkan persekolahan, dia bermain dengan ‘aksesori kasar’ dan berat yang jarang mendapat perhatian wanita muda sepertinya. 

    Malah pandangan sinis orang kampung yang menyatakan gadis tidak sesuai bekerja membaiki motosikal tidak pernah menjejaskan minatnya malah ia seolah-olah membangkitkan lagi kesungguhannya untuk membuktikan perempuan juga boleh berjaya sama seperti lelaki.

    Ini diakui gadis kelahiran Taman Lechar, Raub, Pahang, Noorashima Harun, 21, yang sebelum ini bekerja sepenuh masa di bengkel membaiki motosikal milik ayahnya Harun Mat Sah, 50, di Pekan Dong, Raub.

    Selepas tiga tahun bermain dengan minyak hitam, sepana, palam pencucuh dan karburetor motosikal milik penduduk kampung, kini dia mengorak langkah dengan membuka kedai alat ganti motosikal di Pekan Dong.

    “Sejak kecil lagi memang saya suka dengan kerja membaiki motosikal. Saya rasa kagum melihat ayah yang setiap hari membaiki motosikal pelanggan di bengkelnya. Selama 20 tahun saya melihat ayah mengusahakan bengkelnya untuk menanggung kami sekeluarga dan dari situlah tumbuh minat untuk menjadi mekanik.

    “Minyak hitam, sepana, palam pencucuh dan karburetor sudah tidak asing bagi saya. Setiap hari, saya memegang dan membeleknya tanpa rasa jijik malah bangga dapat membantu membaiki motosikal penduduk kampung.

    “Gandingan tunjuk ajar ayah dan ilmu yang di peroleh ketika belajar di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis menambahkan lagi kemahiran saya membaiki pelbagai jenis motosikal,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Adik.

    Noorashima berkata, selepas menamatkan persekolahan tiga tahun lalu, dia terus membantu ayahnya mengusahakan bengkel motosikal tanpa sekelumit perasaan malu dan menyesal digelar gadis ‘pomen’.

    Walaupun setiap hari tangannya kotor terkena minyak, dia berasa puas dan berbangga dapat membantu ayah dan menjadi antara segelintir wanita di Pahang mempunyai kemahiran membaiki pelbagai jenis motosikal. Beliau berkata, ilmu dan kemahiran belajar dalam jurusan teknologi automotif selama dua tahun di SMV Sultan Haji Ahmad Shah digunakan sepenuhnya untuk membaiki apa juga kerosakan enjin motosikal seperti Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki. 

    Menurutnya, selain membaiki kerosakan, dia juga turut memiliki kemahiran menukar dan memasang pelbagai alat ganti motosikal yang kini banyak di pasaran. Pada peringkat awal dia membantu ayah membaiki motosikal, ramai tidak mempercayai kebolehannya kerana berpendapat perempuan tidak sesuai menjadi mekanik.

    Walaupun kata-kata itu agak pahit tetapi dia menerimanya dengan senyuman. Namun disebabkan terlalu minat dengan kerja berkenaan, cakap-cakap berunsur negatif itu tidak diendahkan kerana baginya apa yang penting hatinya puas dapat membantu ayah. Baginya cara terbaik untuk menolak pandangan sinis itu ialah dengan membuktikan kebolehannya khususnya kepada pemilik motosikal. 

    “Membaiki motosikal empat lejang lebih mudah berbanding motosikal dua lejang terutama membabitkan skuter. Ketelitian, tumpuan dan kesabaran perlu ada ketika membaiki bagi memastikan punca rosak dapat dikesan.

    “Selain membaiki kerosakan kecil dan menukar peralatan, saya juga melakukan kerja mencuci karburetor dan membaiki enjin beberapa jenis motosikal seperti Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki. Saya akan merujuk kepada ayah sekiranya usaha membaiki motosikal tidak dapat dilakukan, caj yang dikenakan kepada pelanggan bergantung kepada jenis kerosakan dan alat ganti digunakan. 

    “Saya biasa mengenakan bayaran antara RM20 hingga RM500, bagi yang tidak cukup wang mereka diberi kemudahan membayar secara ansuran,” katanya yang turut mengusahakan warung burger berhampiran rumahnya.

    Noorashima berkata, selain kagum dengan kebolehan ayahnya yang mahir membaiki motosikal, dia juga menghormati kemampuan ibunya, Khadijah Mat Ropi, 45, yang turut memiliki kemahiran menukar minyak hitam dan tayar.

    Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, selepas bergelar pomen dia kini berpuas hati apabila berjaya membuka kedai alat ganti motosikal di pekan Dong dengan nama ‘Atan Motor Garage’ sebagai kesinambungan bengkel ayahnya yang terpaksa berpindah.

    “Saya ingin buktikan kepada masyarakat bahawa sifat lembut pada wanita bukan penghalang untuk berjaya menjadi mekanik. Saya tidak melihat pembabitan wanita dalam dunia yang dikuasai lelaki sebagai satu perkara pelik kerana setiap orang bebas menentukan kerjayanya sendiri.

    “Cita-cita saya selepas ini ialah untuk memperluaskan lagi perniagaan berkaitan motosikal seperti membuka bengkel dan menjual kenderaan pada masa akan datang,” katanya yang tidak pernah menyesal kerana tidak menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Noorashima Gadis 'Pomen' Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top