Set pentas menarik dan rekaan grafik kreatif serta ditambah kemantapan vokal Nadira Adnan bersama barisan artis yang ditampilkan ternyata menjadi elemen yang memukau penonton. Justeru, Konsert Cinta yang berlangsung selama dua malam pada Jumaat dan kelmarin di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, pasti meninggalkan kenangan tersendiri buat penonton yang hadir.
Penganjur, Nadira Music Management dan Mawlaya Network mengambil langkah bijak apabila menyenaraikan nama besar dalam dunia muzik tanah air dan antarabangsa seperti Yuna, Amy Search, Joe Flizzow, Noh Salleh dan penyanyi Indonesia, Al Ghazali yang juga anak kepada pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani.
Inilah yang menjadi faktor peminat hadir memenuhi konsert berkenaan selama dua malam itu. Nadira sendiri tidak kurang hebatnya kerana sudah mempunyai kelompok peminat sendiri yang hadir memberikan sokongan. Tepukan dan sorakan mereka sentiasa mengiringi persembahan Nadira, sekali gus memeriahkan suasana.
Pentas konsert dibuka dengan kemunculan Nadira menyampaikan lagu Ini Tuh Tak Baik dan seterusnya I’m In Love. Penampilan yang diiringi dengan montaj grafik dan penari bagai memberi petanda penonton bakal menikmati sebuah persembahan yang hebat.
Tidak menunggu lama, Joe Flizzow ditampilkan sebagai artis kedua menyampaikan lagu Evo, Baek dan seterusnya bergandingan suara dengan Nadira menerusi lagu Apa Khabar. Ketika ini, suasana meriah sudah terasa di Panggung Sari dengan tepukan dan jeritan penonton sebagai tanda mereka teruja dengan persembahan yang disajikan.
Kehangatan diteruskan lagi dengan kemunculan khas Al Ghazali yang menyanyikan lagu Cinta Datang Dan Pergi berduet dengan Nadira. Montaj muzik video mereka di belakang pentas sememangnya menarik membuatkan penonton leka menyaksikannya. Bagaimanapun, Al Ghazali seperti tidak bersedia apabila nampak gugup dan tidak selesa di atas pentas.
Apapun pujian wajar diberikan kerana dia tetap ‘sporting’ tampil menjayakan persembahan ini. Nadira kembali mengambil tempat selepas itu menerusi lagu Cinta Apa Macam Begini dan berduet dengan Noh dalam lagu Sang Penikam.
Pentas ditinggalkan buat Noh bagi menyampaikan lagu Bunga Di Telinga dan Angin Kencang yang menerima tepukan penonton. Segmen khas ditampilkan Nadira dengan persembahan Medley Mentor Tribute di mana dia menyampaikan lagu I Have Nothing, Best Mistake, Dia dan Sinaran.
Kemunculan Amy Search menerusi lagu Saat Ku Idamkan dan Kerja Gila sudah cukup membuktikan dia adalah penyanyi unggul yang sukar disaingi. Gaya dan aksi tersendirinya di atas pentas mendapat sorakan gemuruh. Bahkan tanpa disuruh peminat turut sama menyanyikan lagu-lagu ini bersamanya.
Sebelum meninggalkan pentas, Amy turut berduet dengan Nadira menerusi lagu Fantasia Bulan Madu yang sememangnya indah melodinya. Bagi peminat Yuna pula, kemunculan penyanyi tinggi lampai ini sememangnya ditunggu-tunggu mereka. Kerinduan mereka seakan terubat apabila Yuna berduet dengan Nadira menyanyikan lagu popularnya Terukir Di Bintang.
Dia tidak menghampakan peminat apabila seterusnya menyampaikan lagu Crush yang berjaya memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa. Nadira kembali mengisi pentas selepas itu dengan menyampaikan rangkaian lagu medley Sayang dan Januari Yang Terindah.
Lagu Isi Hati yang juga menjadi judul album sulungnya yang diedarkan di Malaysia dan Indonesia menjadi lagu penutup persembahan gadis berusia 19 tahun ini. Meskipun nampak gementar sepanjang persembahan, keberanian Nadira untuk tampil beraksi di pentas berprestij ini wajar dipuji.
Dia juga bijak berkomunikasi dengan penonton, cuma alangkah baiknya jika komunikasi itu dibuat dalam bahasa Malaysia. Apatah lagi persembahan ini berlangsung di Istana Budaya yang menjadi lambang kemegahan rakyat Malaysia.
Pada saat kita akan menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan, wajarlah bahasa Malaysia didaulatkan setinggi mungkin. Siapa lagi yang akan melakukannya jika tidak kita sendiri. Konsert ini turut dimantapkan dengan persembahan pemuzik iringan pimpinan Eddie Slam sebagai pengarah muzik.
0 comments:
Post a Comment