My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 30 August 2016

    Visual Sebenar Tombiruo



    SAAT menerima khabar bahawa novel thriller popular Tombiruo: Penunggu Rimba hasil nukilan Ramlee Awang Murshid bakal diadaptasi ke layar perak, perasaan gembira dan teruja menyelubungi penulis. Masakan tidak, selama ini watak-watak seperti Tombiruo atau Ejim, Amiruddin dan Wan Suraya hanya berlegar dalam imaginasi pembaca sejak novel itu mula berada di pasaran 18 tahun lalu. 

    Kini, dengan penerbitan dalam versi filem peminat dapat menyaksikan watak-watak berkenaan hidup apabila ia diterjemahkan oleh barisan pelakon popular seperti Zul Ariffin yang memegang watak Tombiruo, Farid Kami (Amiruddin) dan juga Nabila Huda (Wan Suraya).

    Biarpun memiliki pengalaman lakonan, jelas ketiga-tiga pelakon itu, bebanan berat ditanggung mereka selepas menyedari pengaruh novel tersebut cukup besar dalam kalangan peminat. Malah, ada peminat yang memberi amaran kepada mereka agar tidak merosakkan naskhah berkenaan.

    Bagaimanapun, dengan arahan bersama Nasir Jani dan Seth Larney yang banyak terlibat dalam pembikinan filem Hollywood seperti The Matrix Reloaded serta Xmen Origins: Wolverine, ketiga-tiga pelakon berkenaan yakin filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu bakal dihasilkan dengan sempurna, merangkumi jalan cerita dan juga aspek teknikal.

    Zul Ariffin tayang badan

    Berbicara dengan pelakon utamanya, Zul Ariffin pada majlis sidang akhbar filem berkenaan baru-baru ini, jelas kelihatan perasaan gusar di hatinya sementelah menerima tawaran sebagai Tombiruo hanya empat minggu sebelum menjalani penggambaran.

    Dalam tempoh empat minggu itu juga Zul diminta untuk mengecilkan saiz badannya oleh pihak produksi. Oleh itu, dia terpaksa menjalani diet dan rutin senaman yang ketat selama sebulan sehingga mampu menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram daripada berat asal iaitu 92 kilogram serta membina otot.

    Meskipun terpaksa mengambil jalan yang singkat dan berbahaya bagi kesihatannya, namun Zul nekad melakukannya demi memiliki tubuh badan yang sesuai dengan watak Tombiruo. Katanya, dia tidak dipaksa tetapi atas kesedaran sendiri pengorbanan harus dilakukan. Apatah lagi, Zul terpaksa keluar daripada zon selesanya dengan ‘menjual’ tubuh sasa apabila muncul tanpa baju serta memakai topeng dalam filem tersebut.

    “Memang rasa agak kekok kerana buat pertama kalinya saya tampil tanpa baju dan memakai topeng sepanjang filem. Mahu atau tidak, saya harus berusaha untuk kekalkan tubuh badan berotot selama dua bulan kerana watak Tombiruo adalah orang yang tinggal dalam hutan,” ujarnya yang mahu dilihat sempurna di layar perak.

    Selain tubuh badan yang sasa, aset paling mahal Zul sudah pasti wajahnya yang tampan. Bagaimanapun dalam filem ini, wajahnya tidak akan kelihatan langsung kerana dia dikehendaki memakai topeng muka. Tidak kecewa kerana terpaksa berlakon di sebalik topeng, jelas Zul inilah cabaran yang diinginkan sebagai seorang pelakon.

    “Saya akui bukan mudah berlakon dengan memakai topeng, sebabnya orang tidak nampak reaksi wajah. Namun, watak seperti inilah yang setiap pelakon idamkan kerana ia sungguh mencabar. Saya terpaksa berlakon tanpa banyak dialog dan hanya menggunakan bahasa tubuh untuk penonton merasai emosi yang ingin disampaikan,” kata Zul yang telah mula menjalani penggambaran filem berkenaan tiga minggu lalu.

    Farid tertekan

    Beralih bicara dengan aktor Farid Kamil, tanpa berselindung dia mengaku agak tertekan untuk menterjemahkan watak Amiruddin dengan sempurna. Selain terpaksa mempelajari bahasa Kadazan Dusun, dia juga harus menuntut ilmu silat sendeng sebelum penggambaran bermula.

    Ujarnya, harapan peminat yang ingin melihat watak Amiruddin serupa dengan imaginasi ketika membaca novel berkenaan memberi tekanan yang besar buatnya.

    “Belum mula penggambaran sudah ada peminat yang memberi amaran supaya jangan merosakkan naskhah ini. Sejujurnya, saya memang takut dan bimbang sebab harapan penonton terlalu tinggi bukan sahaja untuk watak Amiruddin tetapi keseluruhan filem ini.

    “Namun, ingin diingatkan mungkin cara saya menjadi Amiruddin tidak seratus peratus sama seperti dalam novel kerana imaginasi setiap pembaca berbeza-beza,” ujar Farid.

    Walaupun memikul tanggungjawab yang berat, kata Farid, sebagai pelakon dia melihat filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu sebagai naskhah ‘emas’ kerana memiliki pasaran sedia ada yang terdiri daripada pembaca novel berkenaan. Justeru, Farid terpaksa bersaing dengan ramai pelakon popular ketika sesi uji bakat demi mendapatkan watak Amiruddin.

    “Bukan mudah untuk dapatkan watak Amiruddin, saya terpaksa bersaing dengan semua hero filem di Malaysia. Saat diberitahu terpilih sekitar empat bulan lalu, saya cukup gembira dan bersyukur kerana terlibat dalam sebuah naskhah yang diminati ramai,” katanya yang tidak membaca novel berkenaan. 

    Nabila jadi wartawan

    Aktres Nabila Huda yang memegang watak Wan Suraya seorang wartawan dari Kuala Lumpur menjelaskan, dia menerima tawaran untuk terlibat dalam filem tersebut kerana naskhahnya yang cukup berbeza daripada filem adaptasi tempatan sebelum ini. Kebiasaannya naskhah adaptasi adalah daripada novel cinta, namun Tombiruo: Penunggu Rimba merupakan sebuah novel thriller.

    Selain itu, sepanjang bergelar pelakon inilah kali pertama Nabila membawakan watak wartawan di layar perak. “Sebenarnya saya sangat sukakan skrip filem ini. Ia sangat berbeza daripada filem adaptasi novel yang pernah diterbitkan. Saya juga tertarik kerana diberi peluang memegang watak wartawan buat pertama kali.

    “Walaupun sudah biasa ditemu bual pihak media, namun melakonkan watak seorang wartawan yang menyiasat isu berat cukup mencabar. Saya perlu ambil masa untuk mendalami watak Wan Suraya dengan baik,” katanya jujur.

    Sebagai persediaan, Nabila yang tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 menerusi filem Munafik itu turut menghadiri kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar selama tiga minggu.

    “Sepanjang filem ini kami lebih banyak melakukan penggambaran dalam hutan. Secara fizikal ia amat mencabar tetapi dari segi emosi saya terpaksa berdepan dengan watak Tombiruo, seorang lelaki yang tiada agama dan tinggal di hutan.

    “Mungkin peminat ada gambaran tersendiri tetapi sebagai pelakon saya berusaha sehabis baik untuk menjadi Wan Suraya seperti dalam novel,” katanya yang akan memasuki set penggambaran sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah bermula Oktober depan.

    Filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang bakal ditayangkan pada 2017 itu turut dibintangi beberapa nama besar lain seperti Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Dynas Mokhtar, Artu dan R. Azmi Ismail.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Visual Sebenar Tombiruo Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top