Band Sofea cukup dikenali di arena muzik rock tempatan ketika era kegemilangan muzik itu pada era 1980-an dulu. Band asal Ipoh, Perak ini masih dianggotai dua anggota asalnya iaitu Amir (penyanyi) dan Man Rani (bass).
Kini mereka dibantu dua lagi pemuzik iaitu Sham (gitar) dan Shamil (dram). Mereka yang sebelum ini dikenali dengan nama SYJ ini pernah hadir dengan lima album iaitu Kembali pada 1987, Anak Liar (1988), Boneka Pentas (1989), Khudrat (1990) dan Mimpi & Airmata (1992).

Selepas 20 tahun menyepikan diri, kelincahan kumpulan yang popular dengan lagu Bunga Padang Pasir dan Anak Liar ini dapat disaksikan menerusi persembahan istimewa di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 28 Ogos ini jam 2 petang.
Amir berkata, mereka teruja kerana berpeluang bertemu peminat selepas lama berehat daripada beraksi dalam persembahan besar. “Ramai peminat yang nak lihat kami kembali beraksi dan akhirnya impian mereka jadi kenyataan. Untuk itu, kami berjanji memberikan sesuatu cukup istimewa buat mereka yang tak pernah jemu menyokong perjuangan kami,” katanya.
Selain Sofea, turut membuat persembahan ialah band ‘death metal’ tempatan iaitu Suffercation dan Farasu. ‘Showcase’ anjuran Garam Gula Production ini pastinya ditunggu-tunggu peminat fanatik ketiga-tiga band ini kerana selain berhibur, mereka juga dapat kembali mengimbas nostalgia lalu.
Farasu dan Suffercation pernah beraksi di pentas Hard Rock Cafe Melaka beberapa bulan lalu. Maklumat lanjut mengenai persembahan ini sila layari Facebook sjy@sofeafanclub.Sofea.
0 comments:
Post a Comment