Bercuti sambil menikmati panorama indah dikelilingi hutan hujan yang kaya dengan flora dan fauna tentunya menjadi idaman setiap pencinta alam. Itulah antara pengalaman menarik jika anda berpeluang berkunjung ke Aiman Batang Ai Resort & Retreat (ABARR) di Lubok Antu, Sarawak.
Pemandangan menakjubkan yang disajikan dengan cuaca sejuk lagi menyamankan antara habuan diperoleh saat mengunjungi destinasi pelancongan menarik di Bumi Kenyalang ini. Penulis yang mengikuti Program Media Product Update anjuran Tourism Malaysia Sarawak dengan kerjasama ABARR merasai sendiri pengalaman menakjubkan itu.
Terletak di daerah Lubok Antu, kira-kira 260 kilometer dari pusat bandar Kuching, perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam menaiki bas sebelum tiba di jeti bersebelahan Empangan Hidroelektrik Batang Ai untuk menuju ke ABARR yang dihubungkan menggunakan feri.
Perjalanan diteruskan kira-kira 30 minit menaiki feri menyusuri tasik Batang Ai, namun ia seakan-akan tidak terasa kerana mata terpukau melihat keindahan hutan hujan yang masih menghijau tanpa diusik kerakusan manusia. ABARR dibina di kawasan bukit di kawasan tasik Batang Ai menggunakan konsep rumah panjang sebagai tarikan, khususnya kepada pelancong yang mahu merasai pengalaman mendiami kediaman tradisional masyarakat Iban.
Bagi menonjolkan kelainan, sebahagian binaan resort ini menggunakan kayu kerana mahu mengetengahkan seni binanya sesuai dengan lokasinya dikelilingi hutan serta habitat flora dan fauna. Menawarkan 100 bilik yang menggunakan konsep rumah panjang, sudah pasti ia pengalaman baru bagi mereka yang sering dihidangkan dengan bilik berkonsepkan moden.
Di luar bilik, kita dengan mudah disapa bunyi burung setiap masa. Sungguh istimewa. Selain itu, setiap blok mempunyai balkoni bagi kemudahan pengunjung menikmati pemandangan indah tasik dan matahari terbenam dari depan bilik.
Bilik yang ditawarkan juga berkonsep tradisional kayu dengan susun atur dan hiasan dalamannya seakan-akan membangkitkan mood percutian di kawasan hutan, namun tetap dilengkapi kemudahan moden seperti pendingin hawa. Percutian di kawasan sebegitu tidak sah jika tidak disusuli aktiviti menerokai keindahan alam di sekitar resort itu.
Antara mencuri perhatian ialah aktiviti ‘canopy walk’ sambil melihat pelbagai spesies burung dan tumbuhan hutan, berjalan malam dan memancing. Perjalanan menyusuri denai sejauh lebih dua kilometer itu membolehkan pelancong melihat pelbagai spesies tumbuhan yang jarang ditemui di kawasan lain seperti periuk kera yang tumbuh meliar di kawasan hutan itu.
Penulis yang mengikuti aktiviti ‘canopy walk’ begitu teruja merentasi jambatan gantung sepanjang 110 meter (m) dengan ketinggian 60m sambil dihidangkan dengan pemandangan kawasan sekitar pada aras tinggi. Pengurus Jualan ABARR, Jerry Chong berkata, resort itu menjadi pilihan pencinta alam semula jadi yang mahu lari daripada kesibukan aktiviti seharian kerana suasana ditawarkan sukar diperoleh di lokasi percutian lain.
“ABARR menggunakan konsep rumah panjang sebagai tarikan utama, selain landskap yang masih menghijau untuk mereka menikmati pengalaman dan budaya tempatan negeri ini. “Pelancong khususnya dari Eropah gemar menghabiskan percutian menikmati keindahan alam yang ditawarkan di sekeliling resort kerana ia pengalaman yang sukar diperoleh di tempat lain,” katanya.
Ching berkata, udara sekeliling di resort itu yang masih tidak tercemar menambahkan kesegaran kepada sesiapa saja yang berkunjung ke ABARR sambil dihidangkan bunyi merdu kicauan burung. Menurutnya, selain menikmati keindahan alam semula jadi, pelancong boleh menggunakan kesempatan di ABARR untuk mendalami budaya masyarakat Iban yang mendiami beberapa rumah panjang di sekitar tasik Batang Ai.
“Pelancong akan dibawa ke rumah panjang untuk melihat sendiri seni bina dan aktiviti seharian yang dilakukan masyarakat Iban di beberapa perkampungan berdekatan. Kesempatan mengunjungi rumah panjang sudah pasti akan membuatkan pelancong teruja kerana dapat merasai suasana perkampungan dan aktiviti masyarakat Iban,” katanya.
Menurutnya, selain menawarkan kemudahan kepada pelancong, ABARR juga bersedia menerima kunjungan dalam kumpulan besar untuk menjalankan aktiviti seperti bengkel, program dan hari keluarga.
Katanya, kemudahan seperti laluan latihan lasak dan rentas halangan juga disediakan yang sudah pasti mencabar sesiapa saja mencubanya. Maklumat lanjut mengenai ABARR dan pakej yang ditawarkan layari laman web www.aimanbatangai.com.
0 comments:
Post a Comment