LEGENDA badminton beregu lelaki negara, Yap Kim Hock percaya perlawanan terakhir antara kedua-dua ikon badminton dunia iaitu Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan pada pentas separuh akhir temasya Sukan Olimpik Rio semalam akan dikenang sepanjang zaman.
Menurut pemenang pingat perak bagi acara regu lelaki pada temasya Olimpik 1996 di Atlanta itu, kedua-dua jaguh badminton dunia itu berjaya mempamerkan aksi yang sangat mengagumkan sehingga mampu menghadirkan perasaan bercampur baur kepada para penonton di seluruh dunia.
“Tidak dapat dinafikan lagi kedua-dua jaguh dunia itu betul-betul membuat persediaan yang sangat rapi untuk menghadapi Olimpik kali ini. Perlawanan yang berlangsung tadi (semalam) menjadi sangat sengit sehingga membuatkan saya tidak senang duduk.
“Saya turut yakin para penonton yang lain juga mengalami perasaan sama seperti saya. Kedua-dua pemain tersebut telah mempamerkan persembahan yang sangat bermutu dengan mengerah segala kudrat serta kemahiran yang ada untuk memenangi perlawanan tersebut.
“Bagaimanapun Chong Wei dilihat lebih bersedia pada pentas Olimpik kali ini kerana saya dapat lihat dia lebih bertenaga daripada seteru utamanya itu. Walaupun Lin Dan berjaya memenangi set pertama perlawanan, namun pada set kedua, kita dapat lihat tenaganya sudah tiada ekoran faktor usia.
“Keadaan itu memberi peluang kepada Chong Wei untuk meraih kemenangan mudah. Pada perlawanan penentuan, perlawanan dilihat seimbang, namun faktor kecergasan telah memberi kemenangan kepada kita untuk mara ke pentas akhir. Ini adalah kali pertama saya lihat Chong Wei menamatkan aksinya dengan pukulan di depan jaring,” katanya semalam.
Pada perlawanan separuh akhir itu, pertembungan dua jaguh badminton dunia itu berlangsung dengan penuh dramatik dengan aksi saling mengejar mata pada set penentuan. Namun kejayaan akhirnya memihak kepada Chong Wei dengan kemenangan 15-21, 21-11, 22-20.
Dalam pada itu, Kim Hock mengakui agak bimbang dengan keadaan Chong Wei yang dilihat telah mengerahkan banyak tenaga untuk berhadapan dengan Lin Dan. “Sebelum aksi final, Chong Wei perlu dapatkan rehat yang cukup untuk kembali cergas seperti perlawanan tadi (semalam). Ini kerana dia sudah terlalu banyak menggunakan tenaga ketika menentang Lin Dan.
“Saya yakin pada tahun ini, kita dapat melihat Chong Wei meraih emas pertama negara di pentas Olimpik,” ujarnya. Chong Wei akan menentang seorang lagi pemain China, Chen Long pada perlawanan akhir malam ini.
0 comments:
Post a Comment