Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) komited untuk terus fokus dalam merancakkan sektor perdagangan menerusi pendekatan yang lebih kukuh dan bersepadu serta mengambil kira persekitaran ekonomi global yang mencabar.
Pada masa sama, Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) meramalkan perkembangan ekonomi akan tumbuh sekitar 2.8 peratus pada 2016 berdasarkan situasi tidak menentu dalam ekonomi dunia dan aktiviti perdagangan global yang pulih secara perlahan.
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun, Malaysia terus merekodkan prestasi dagangan memberangsangkan pada separuh pertama 2016 dengan mencatat RM704 bilion, meningkat 1.3 peratus berbanding RM694.98 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, prestasi cemerlang itu disokong menerusi dagangan dengan Amerika Syarikat (AS), China, Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan juga Turki malah ketika ini, Malaysia berada pada kedudukan ke-23 bagi negara pengeksport terbesar dunia.
“Namun, kita sewajarnya tidak mudah selesa dan adalah penting negara terus mempelbagaikan dagangan dan menyuntik lebih banyak kreativiti dalam aktiviti promosi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Pada separuh pertama 2016, Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan 46 program latihan eksport dihadiri lebih 7,500 peserta daripada 4,600 syarikat. Untuk tahun ini sahaja, MATRADE merancang untuk mengadakan 74 program latihan eksport.
Mustapa berkata, kerajaan mengambil langkah memperkenalkan Program Promosi Malaysia (MPP) yang juga kerjasama awam-swasta bagi meningkatkan dagangan dan menarik lebih banyak pelaburan pada masa depan.
Katanya, pada peringkat awal, inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan bergerak ke tiga bandar utama iaitu London mulai 24 hingga 27 September 2016 diikuti Shanghai (7 hingga 13 November 2016) dan Sydney (3 hingga 5 Disember 2016).
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, secara keseluruhan Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM127.4 bilion pada bulan Jun, berkembang RM10.8 bilion atau 9.2 peratus berbanding bulan sebelumnya dan pertumbuhan sebanyak RM6.8 bilion atau 5.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
0 comments:
Post a Comment