Kegerunan dan tragedi perang saudara di Syria dirakam menerusi gambar ini, kecederaan yang dialami seorang kanak-kanak. Budak lelaki berusia lima tahun itu duduk di atas kerusi dalam sebuah ambulans selepas satu serangan udara di bandar kediamannya, Aleppo, kelmarin. Keadaan ibu bapanya tidak diketahui.
Dilitupi debu runtuhan bangunan rumahnya, sebahagian muka Omran Daqneesh juga berdarah dan dia kelihatan keliru. Rakaman video menunjukkan dia menyapu debu di dahinya dengan tangan sebelum menyedari ia berdarah dan meletakkan semula tangannya kembali di paha. Kanak-kanak itu tidak menangis.
Dia hanya berdiam diri sementara penyelamatnya meninggalkan ambulans itu untuk menyelamatkan tiga kanak-kanak lain sebelum membawa mereka ke hospital. Dia memakai kemeja-T dengan gambar kartun Catdog.
Sukar untuk melihat gambar itu kerana dilitupi darah dan debu. Gambar dan video Omran menjadi viral serta-merta selepas dimuat naik ke Internet malam kelmarin. Menurut laporan Pusat Media Aleppo, Omran cedera di kepala apabila rumahnya menjadi sasaran serangan udara tentera rejim Bashar al-Assad, atau mungkin pesawat Russia.
Sukarelawan dari kumpulan Pertahanan Awam Syria yang dikenali sebagai Helmet Putih menyelamatkan Omran dan tiga kanak-kanak lain. Mereka dibawa ke hospital M10 untuk dirawat dan Omran dibenarkan pulang.
Tetapi, tiada siapa tahu di mana ibu bapanya. Ribuan orang mengulas mengenai imejnya di Internet, meluahkan rasa kecewa dan simpati terhadap kanak-kanak itu. “Hati saya pilu. Melihat kanak-kanak Syria ini, saya tertanya, bila penderitaan mereka akan berakhir. Bila perang akan berhenti?” tulis seorang pengguna.
0 comments:
Post a Comment