Permukaan curam lagi licin apabila hujan lebat serta gelap merupakan satu cabaran terpaksa dihadapi ketika menyelamatkan tiga pendaki yang terperangkap di Gunung Serapi, di Taman Negara Kubah, malam kelmarin.
Tiga sekawan tersebut termasuk seorang lelaki dan wanita warganegara Mesir yang masing-masing berumur dalam lingkungan 21 hingga 23 tahun dikatakan mendaki gunung tersebut pada sebelah siang namun tidak dapat turun apabila keletihan.
Seorang daripada mangsa kemudian menghubungi rakan mereka yang seterusnya memaklumkan insiden itu kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 7.52 malam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya Muhd Mirza Dzalmira Miraj, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan serta-merta dengan kekuatan 10 anggota diketuai PBK II Wan Umar Wan Alek dan dua kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC).
“Mangsa berjaya ditemui pada ketinggian 900 kaki dalam keadaan lemah dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS (Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik) Petra Jaya,” katanya sambil menambah, operasi tamat pada jam 10.26 malam.
Mirza menambah, operasi SAR itu turut dibantu empat anggota pasukan Malim Gunung daripada BBP Petra Jaya yang baharu ditubuhkan pada April lalu. Secara keseluruhan katanya, pasukan terdiri daripada tujuh anggota terlatih itu merangkumi anggota EMRS, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Pelbagai Kemahiran (MUST) dan dua pakar tali yang membantu anggota bomba memberi respons awal.
“Walaupun berhadapan dengan situasi mencabar, pasukan (Malim Gunung BBP Petra Jaya) adalah pasukan yang pakar dalam operasi SAR seperti ini,” katanya. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
0 comments:
Post a Comment