My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 25 August 2016

    Guna Internet Untuk Memasarkan Barangan Dan Menjana Pendapatan

    KEMUDAHAN: Bung mencuba Internet di PI1M Kampung Pelangi. Turut kelihatan, Rahia (kiri) dan pemimpin tempatan.

    Masyarakat luar bandar khususnya di Kampung Pelangi digesa menggunakan kemudahan Internet dengan sebaik mungkin. Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata, masyarakat terutamanya golongan wanita muda atau pun ibu-ibu boleh mengambil peluang menggunakan Internet sebagai medium menambah pendapatan keluarga dengan memasarkan barangan yang ingin dijual.

    “Melalui ilmu pengetahuan yang ada dan kemahiran yang diperolehi setelah mempelajari menggunakan kemudahan Internet, ia adalah peluang yang terbaik bagi usahawan dalam kalangan wanita muda dan ibu yang ingin menambah pendapatan keluarga dengan berniaga melalui perniagaan atas talian,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Bersama Komuniti dan Hari Terbuka Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kampung Pelangi, di sini kelmarin. Bung turut menasihatkan golongan anak muda agar memanfaatkan kemudahan Internet ke arah kebaikan dan jangan sesekali menyalahgunakan Internet untuk sesuatu yang tidak bermanfaat.

    “Tidak dinafikan anak-anak muda hari ini gemar menggunakan Internet untuk membuat sesuatu yang tidak berfaedah…seperti memfitnah, membuat provokasi melampau, mencaci agama lain serta memberi komen atau kritikan yang tidak baik dan sebagainya tanpa usul periksa terlebih dahulu. 

    “Kalau boleh, periksa dahulu isu atau maklumat yang kita peroleh, pastikan maklumat itu tepat sebelum memberi komen atau kritikan. Gunakanlah Internet ini untuk kebaikan. Kalau ada yang beri komen, bagilah komen yang positif, jangan yang bersifat memaki hamun dan sebagainya,” katanya. 

    Dalam pada itu, Bung mengakui banyak lagi kampung khususnya di Kinabatangan yang tidak ada kemudahan atau ‘pintu masuk’ Internet. Malah, kadang-kadang talian telefon pun tidak boleh digunakan.

    Katanya beliau telah berjumpa dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan “beliau (Salleh) meminta saya untuk mencadangkan mana-mana kampung yang belum ada Internet.”

    “Insya-Allah, minggu depan saya akan berjumpa dengan beliau (Salleh) semula bagi menyerahkan cadangan lebih kurang 89 kampung untuk dipasang jalur lebar atau pun Internet,” katanya.

    Sementara itu, Penolong Pengurus UPS Community Program & Engagement Telekom Malaysia Mohd Shakirin Ismail berkata langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendirikan PI1M di Kampung Pelangi adalah satu usaha berterusan untuk membantu dan membangunkan semua lapisan rakyat Malaysia terutama masyarakat luar bandar agar dapat sama-sama meningkatkan kadar penembusan jalur lebar dan teknologi maklumat.

    Beliau berkata, dengan kewujudan PI1M di sini, ia dapat memberi manfaat yang besar kepada komuniti setempat dan ia memudahkan segala urusan harian dengan pantas dan menjimatkan kos serta masa seperti pembelajaran ilmu ICT, pembayaran bil secara online seperti bil air, telefon, Astro dan sebagainya.

    Katanya sehingga kini, terdapat 776 PI1M di seluruh Malaysia dan 369 daripadanya adalah dilaksanakan oleh Telekom Malaysia (TM). “Di Sabah, terdapat 13 PI1M, dan di daerah Kinabatangan khususnya terdapat lima PI1M iaitu di Pekan Kinabatangan, Batu Putih, Sukau, Kampung Suan Lamba dan PI1M Kampung Pelangi,” katanya.

    Dengan adanya kemudahan pusat Internet itu, beliau berharap masyarakat setempat terutamanya usahawan dan golongan muda yang berminat dengan bidang perniagaan dapat mengambil peluang untuk mendalami bidang teknologi maklumat dan menggunakannya sebagai platform bagi memajukan diri dan sosioekonomi setempat.

    “TM selaku pelaksana projek berharap dengan adanya PI1M Kampung Pelangi yang diterajui oleh tenaga pengajar terlatih, akan dapat mentransformasikan corak kehidupan masyarakat setempat ke arah masyarakat berteknologi maklumat,” katanya. Turut hadir, Bendahari UMNO Bahagian Kinabatangan Rahia Arpaih dan para pemimpin setempat.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Guna Internet Untuk Memasarkan Barangan Dan Menjana Pendapatan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top