Keindahan perairan Pulau Rawa tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sering mendapat pujian pelancong luar negara yang menyamakannya dengan kepulauan Maldives. Panoramanya pula cukup mempesonakan. Dengan pasir putih bersih, air laut hijau kebiruan manakala dasarnya cukup jernih pasti mengujakan sesiapa sahaja yang bertandang.
Apatah lagi angin Laut China Selatan yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dan sesekali kuat mencetuskan suasana damai, sekali gus menghilangkan segala tekanan. Pulau percutian di daerah Mersing, Johor, ini mendapat jolokan Maldives Malaysia dek kecantikan perairannya persis di negara kepulauan itu.

Mengunjungi sendiri pulau yang keindahannya belum terusik ini menerusi FamTrip Malaysia Travel Writers bersama 30 wakil media daripada Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (TRAM) apa yang terpapar di depan mata sukar digambarkan dengan kata-kata. Lawatan itu anjuran bersama TRAM, Tourism Johor dan kerajaan negeri Johor.
Perjalanan menaiki bas selama lima jam dari Kuala Lumpur berbaloi sebaik melihat apa yang disajikan di pulau ini. Terletak dalam gugusan Taman Laut Sultan Iskandar, Pulau Rawa boleh dikunjungi kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot laju dari Mersing.

Penulis yang berpeluang mendaki puncak Rawa terpesona dengan pemandangan kawasan perairannya. Dari puncak itu juga, barisan tiga pulau berdekatan iaitu Pulau Tengah, Pulau Besar dan Pulau Sibu jelas kelihatan. Tatkala malam menjelma, menikmati hidangan berbeku sambil dihiburkan alunan ombak yang memukul pantai cukup mendamaikan.
Percikan bunga api yang mewarnai langit malam itu menambahkan lagi keterujaan bercuti di pulau eksklusif ini. Kami menginap di Rawa Island Resort, satu daripada dua resort di sini. Pusat peranginan berusia puluhan tahun itu terus menambat hati pengunjung kerana dijaga dengan rapi.
Mempunyai 77 bilik, setiap kamar direka secara individu untuk menggabungkannya dengan landskap semula jadi. Rawa Island Resort menawarkan empat pilihan bilik iaitu Beachfront yang berhadapan pantai manakala Hillside Deluxe persekitaran hijau yang segar dan mendamaikan.

Chaletnya juga mempunyai balkoni sendiri untuk pengunjung menikmati pemandangan sambil beristirahat. Menariknya, Rawa Island Resort menyediakan gelongsor khas kepada tetamunya yang mahu mandi laut di tepi pantai. Pengurus Residennya Tom Ong berkata, pulau itu menjadi pilihan pengunjung yang ingin beristirahat dan mencari ketenangan.
“Pulau ini juga lokasi terbaik bagi mereka yang ingin menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga atau rakan kerana pengunjungnya tidak terlalu ramai,” katanya.

Katanya, keindahan Pulau Rawa menjadi buah mulut pelancong serata dunia menyebabkan hampir setiap masa tempahan bilik penuh sekali gus menyukarkan pelancong lain termasuk tempatan menginap di situ. “Di sini, tempahan bilik dibuat secara dalam talian dan biasanya pelancong membuat tempahan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, keunikan dan keramahan pekerja di pulau itu antara faktor pengunjung setia Rawa Island Resort, Favio Cascapera memilih pulau itu sebagai destinasi percutiannya saban tahun sejak 25 tahun lalu. “Setiap pulau ada keunikan tersendiri yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Kebaikan dan keramahan orang di sini membuatkan saya selesa dan menjadikan pulau ini sebagai lokasi perkahwinan dengan isteri berkonsepkan perkahwinan Melayu,” katanya yang datang bersama keluarga dan rakan dari Rome, Itali. Bagi anda yang ingin merasai sendiri keunikan dan keindahan pulau ini, layari www.rawaislandresort.com.

Pemanduan dari Kuala Lumpur ke Mersing mengambil masa lima jam. Melalui Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, keluar di Plaza Tol Air Hitam. Dari situ, teruskan pemanduan ke Kluang dan ikut laluan ke Mersing. Di Terminal Feri Mersing, ada perkhidmatan bot laju ke Pulau Rawa. Jika memandu dari Johor Bahru dan Singapura, anda boleh ke Kota Tinggi sebelum ke Mersing dengan perjalanan 98 kilometer.
0 comments:
Post a Comment