Tidak menunggu lama untuk merungkai kekeliruan di benak fikiran penonton setia, pihak produksi Juvana kembali dengan naskhah baharu setelah filem Juvana 2 mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton pada tahun 2015.
Membawa khalayak dengan Juvana 3: Perhitungan Terakhir, tiga teraju utamanya kembali menangkap dan menembak jiwa pencinta mereka (peminat setia) dengan peluru-peluru watak Botak (Johan As’ari), Daim (Zahiril Adzim) dan Ayam (Adam Shahz).
Bakal menjadi penamat kisah Juvana, tiada lain yang ingin dilaungkan pengarahnya, Faisal Ishak selain mengharapkan naskhah terakhirnya itu dapat melegakan hati peminat-peminat filem Juvana yang tertanya-tanya mengenai kisah anak-anak Sekolah Wira Bakti itu.
Menjadi filem terakhir yang memotret kisah Botak, Daim dan Ayam, Faisal mengakui sedih terpaksa berpisah dengan semua kru produksi dan para pelakon yang sudah menjadi keluarga keduanya itu.
“Buat masa ini, Juvana 3 merupakan filem yang terakhir. Memang terasa sedih sebab terpaksa berpisah dengan semua kru produksi dan para pelakon yang sudah bersama selama bertahun-tahun untuk drama bersiri dan filem trilogi di layar perak itu.
“Melihat perjalanan mereka daripada dahulu sehingga kini, saya cukup bangga dengan pencapaian mereka melalui jenama Juvana itu sendiri. Malah, saya berharap sifat setia kawan yang dibina akan kekal di luar juga,” ujar Faisal mengenai filem yang pernah memenangi Drama Rantaian Terbaik Anugerah Skrin 2011 dan filem pecah panggung 2013.
Sifat yang paling gelap
Lebih banyak aksi yang mendebarkan, termasuk watak Raja, lakonan Hasnul Rahmat dan Nabila (Nad Zainal) yang memberi momentum tersendiri, Juvana 3 turut memaparkan Daim mengalami gangguan emosi setelah kekasihnya, Sara mati ditikam Tok Ki (Pekin Ibrahim).
Apa yang pasti, jenama Juvana itu sudah cukup kuat untuk menebarkan keinginan penonton menonton filem yang bakal ditayangkan kepada khalayak pada 29 September ini. “Tentunya ada perkembangan bagi ketiga-tiga watak utama Juvana iaitu Botak, Daim dan Ayam. Malah, para pelakon sendiri menyuarakan keinginan untuk kelainan watak masing-masing.
“Maka, dalam Juvana 3 saya humbankan mereka ke sifat yang paling gelap dan melihat bagaimana mereka mampu menyelamatkan diri dan juga sahabat mereka,” jelas Faisal mengenai filem terbitan Filmscape Sdn. Bhd. bersama Juita Viden Sdn. Bhd. dan Star Media Group Berhad itu. Mengakui konflik dalam Juvana 3 lebih hebat, buat pertama kalinya juga Faisal memecahbelahkan persahabatan antara Daim, Botak dan Ayam.
“Kali terakhir mereka tidak bersatu adalah ketika siri televisyen dahulu. Saya ingin menguji sifat setiakawan mereka yang kuat dahulu. Tambahan pula mereka harus bersatu jika ingin mengatasi situasi genting yang menghantui mereka sekarang,” ujarnya yang sedar ramai merungut mengenai jalan cerita Juvana 2 yang sedikit rumit.
Biar banyak rungutan yang diterima, hakikatnya itu yang ingin dibentangkan Faisal dalam naskhah Juvana 2. “Kami merungkai masalah peribadi setiap watak dalam drama bersiri, mencetuskan perangkap baharu di filem pertama.
"Ia menjadi satu cabaran bagaimana hendak merumitkan lagi perjalanan mereka di Juvana 2 dan akhirnya penyelesaian yang muktamad di Juvana 3. Segala persoalan akan terjawab kelak,” jelasnya yang turut mengembangkan watak Nabila di dalam filem terbaharu itu. Mengagumi bakat lakonan Nad Zainal, bagi Faisal, sia-sia sekiranya watak Nabila itu tidak diolah dan memberi kekuatan tersendiri.
“Semasa mengarah siri Bukan Bidadari dahulu, saya sungguh kagum dengan bakat Nad. Seorang pelakon yang lasak dan cukup berbakat. Saya berura-ura ingin terbitkan Juvana versi perempuan, namun masa tidak mengizinkan.
“Apabila Juvana 2 dan yang terbaharu ditulis, saya perlukan watak wanita yang berbeza daripada Sara. Seorang yang tegas dan yang akan memberontak dengan kekuatan fizikal berbanding dengan Sara yang menggunakan kelembutan dan psikologi untuk menyelesaikan masalah. Hanya ada satu nama sahaja untuk watak itu iaitu Nad,” ujarnya bersungguh.
Kurang gemar karakter lucu - Nad
Bagi Nad pula, dia cukup berbesar hati dapat bekerja semula di bawah arahan Faisal. “Sebenarnya saya suka bekerja dengan Faisal kerana melalui dia saya dapat lari daripada karakter-karakter klise yang selalu saya dapat. Saya bersyukur kerana dipilih dan watak Nabila merupakan salah satu watak idaman saya yang mana wanita ditampilkan sebagai karakter yang sama ‘gagah’ dengan lelaki, namun masih mengekalkan ciri-ciri feminin.
“Bukan apa, saya kurang gemar pada karakter lucu dan romantik,” ulas Nad. Juvana 3 merupakan naskhah kali ketiga pelakon bermata galak itu berlakon di bawah arahan Faisal.
Menyukai hasil kerja pengarah muda itu, Nad juga menyifatkan Faisal seorang pengarah yang moden, mempunyai visi dan sukakan sesuatu yang semula jadi.
“Faisal juga bijak menggali dan menutup kekurangan pelakon. Saya sangat berterima kasih dan seronok kerana pengarah dan yang lain-lain banyak membantu. Pada masa sama, saya juga perlu bertindak pantas dalam menghafal gerak babak-babak bergaduh dan fokus 24 jam di set supaya tidak menyusahkan orang lain,” ujarnya menutup bicara.
0 comments:
Post a Comment