My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 23 August 2016

    Reman Dilanjut Lagi


    Tahanan reman tiga lelaki termasuk seorang bergelar Datuk Seri dilanjutkan antara tiga hingga enam hari di tiga mahkamah berasingan bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram. 

    Di Mahkamah Majistret Putrajaya tahanan reman seorang pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri dilanjutkan lima hari lagi.

    Perintah tahanan itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman. Tempoh reman bagi suspek sepatutnya berakhir hari ini, namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan. Nik Isfahanie memerintahkan tempoh reman dilanjutkan lima hari sehingga 27 Ogos ini. 

    Difahamkan, lanjutan reman itu dibuat bagi membolehkan SPRM melakukan beberapa lagi siri penggeledahan, merakam kenyataan kontraktor yang dipercayai ada kaitan dengan suspek dan mendapatkan dokumen penting berhubung kes berkenaan.

    Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi di bawah Akta SPRM 2009.

    Bagi Akta Penggubahan Wang haram pula, suspek boleh penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta bagi mana yang lebih tinggi. Sementara itu, di Melaka, tempoh tahanan reman terhadap seorang pegawai kanan kerajaan bergelar Datuk dilanjutkan tiga hari lagi juga bagi kesalahan sama.

    Penolong Pegawai Pendaftar Majistret Mohd Anuar Ostadi, mengarahkan tahanan reman terhadap lelaki berusia 56 tahun itu dilanjutkan hingga Khamis depan ketika dia dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, semalam.

    Sebelum ini lelaki itu ditahan reman tujuh hari berakhir semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, tahanan reman terhadap pegawai kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilanjutkan enam hari lagi bermula semalam sehingga Sabtu ini berhubung kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen Nor Faizah Abdullah. Lelaki berusia 47 tahun itu sebelum ini ditahan reman seminggu bermula 16 Ogos lalu sehingga semalam. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Reman Dilanjut Lagi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top