My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 23 August 2016

    Perdana Tampil Elegan



    Model Perdana baharu yang dilancarkan baru-baru ini membawa jenama Proton lebih serius untuk bersaing dengan pengeluar automotif lain dalam pasaran segmen D tempatan. Bagi memberi gambaran jelas mengenai pengendalian, keselesaan dan kualiti kereta itu, Proton Perdana Media Drive dianjurkan oleh Proton Holdings Berhad dari Shah Alam menuju ke Melaka de­ngan jarak pemanduan sekitar 230 km baru-baru ini. 

    Seramai 40 wakil media dengan 18 unit Perdana disediakan untuk sesi pandu uji ini termasuk lima daripada­nya varian 2.0 liter. Penulis berpeluang memandu uji varian 2.4 liter dengan konvoi yang dilepaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Shah Alam.

    Melihat kepada rekaan luaran, ia memberi gaya baharu meskipun platform hasil kerjasama strategik bersama Honda Japan Ltd, namun bentuk kenderaan ini nyata berbeza dengan elemen terkini yang diketengahkan Proton membuatkan ia tampil lebih elegan dan aerodinamik.

    Ciri krom menjadikan lebih eksklusif pada bahagian tepi dan belakang yang direka dengan baik cuma bahagian bawah berhampiran ekzos terlalu sarat dengan elemen namun secara keseluruhan Proton Perdana baharu ini sebuah kereta dengan karakter premium jelas terlihat.

    Bahagian lampu utama projektor xenon dengan nyalaan siang (DRL) serta LED di belakang tampil bergaya dan jelas terutama malam hari serta jeriji hadapan ciri signatur baru ‘Proton Wings’, antena Shark-fin dan rim aloi bersaiz 17 inci menyerlahkan gaya.

    Pemanduan kami pada pagi itu dimulakan dengan meluncur di lebuh raya menuju ke Port Dickson melalui Kajang, Semenyih dan Seremban dan keupayaan Proton Perdana menyusuri laluan ini dengan kelajuan tinggi nyata responsif dan selesa terutama ketika menukar lorong atau memintas kenderaan. 

    Enjin 2.4 liter dengan 4 silinder DOHC dan suntikan bahan api diprogramkan menghasilkan 178hp pada 6,500rpm dan tork 222Nm pada 4,300rpm sangat ideal untuk sebuah kereta salun. Transmisi automatik lima kelajuan berfungsi lancar sambil roda stereng hidraulik kemas dan tetap pada laluan ketika kelajuan tinggi dan selekoh memudahkan kawalan menjadikan anda lebih yakin ketika memandu hasil teknologi Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

    Melayan selekoh nyata memberi imbangan yang baik tanpa rasa bergoyang yang ketara dengan suspensi pen­stabilan dan gegelung spring wishbone berganda bebas di hadapan dan gegelung spring multi-link di bahagian belakang berfungsi menyerap tekanan dengan baik.

    Melalui jalan raya biasa menyusuri Port Diskson, Lubok China, Sungai Udang dan ke Melaka melintasi kawasan kampung adakalanya perlu memintas kenderaan lain dan membrek kerana haiwan peliharaan seperti lembu berlegar-legar di tengah jalan dan sistem brek berfungsi baik dengan brek anti-kunci (ABS) dan pengagihan kuasa brek elektronik (EBD).

    Bahagian dalaman 2.4 dan 2.0 dibezakan dengan warna beige dan hitam untuk balutan kerusi dan material namun tetap menawarkan keselesaan yang sama terutama pendingin hawa dua zon, roda stereng kulit dengan suis audio dan tempat duduk pemandu larasan kuasa elektrik dengan dilengkapi Lumbar memastikan anda selesa ketika memandu.

    Secara keseluruhan, Proton Perdana baru adalah halatuju dan laras indikasi dalam penghasilan kereta-kereta keluaran mereka pada masa hadapan dengan menetapkan dua tahun lagi ia bakal menerima enjin baharu untuk model ini.

    Walaupun ia mahu diklasifikasi sebagai generasi ke-4 Perdana, bahagian dalamannya memberikan ciri terkini seperti sistem audio dengan skrin sesentuh, navigasi sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), empat beg udara, kamera undur, Isofix dan kerusi tempat duduk kemasan mewah menjadikan ia antara ciri yang terbaik dalam segmen D di negara ini.

    Proton Perdana baharu didatangkan daripada harga RM113,438 (2.0L) dan RM138,438 (2.4L) dengan enam pilihan warna iaitu kelabu, perak, merah, putih, hitam dan emas serta lima tahun waranti atau 150,000 kilometer.

    SPESIFIKASI:

    Enjin: 2.0L 4 silinder, SOHC / 2.4L 4 silinder, DOHC
    Kuasa maksimum: 154hp pada 6,300rpm / 178 pada 6,500rpm
    Tork maksimum: 189Nm pada 4,300rpm / 222 pada 4,300rpm
    Transmisi: 5 kelajuan automatik
    Ciri keselamatan: Dua beg udara SRS, beg udara sisi,
    Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).
    Tangki petrol: 70 liter
    Harga: 2.0L Premium RM113,888 / Metalik
                                        RM113,438 / Solid 2.4L
                        Premium RM138,888/ Metalik RM138,438 / Solid
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Perdana Tampil Elegan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top