JUTAAN rakyat Malaysia bersedih, apatah lagi Datuk Lee Chong Wei yang memegang status selaku pemain No. 1 dunia. Hasrat untuk mendengar lagu Negaraku berkumandang di gelanggang Riocentro, tidak kesampaian walaupun semalam dilihat peluang paling baik untuk Malaysia menjelmakan pingat emas pertama Olimpik, sekali gus mengakhiri penantian selama 60 tahun.
Selepas gagal di Beijing (2008) dan London (2012), kali ini bumi Rio de Janeiro, Brazil menangguhkan lagi hasrat Malaysia menjulang emas pertama pada temasya sukan terbesar dunia itu. Entah bila harapan tersebut mampu direalisasikan kerana pada Sukan Olimpik kali ini, Malaysia diwakili barisan atlet yang memiliki kelebihan tersendiri, malah berupaya untuk menghadiahkan emas pertama.
Pada Olimpik 2020 di Tokyo nanti, misi memburu emas pertama ini akan menjadi lebih sukar kerana ketika ini, tiada jaguh yang mampu menunaikannya. Tapi sayang, penyudahnya berakhir dengan pingat perak selepas Chong Wei tewas 18-21, 18-21 kepada pemain No. 2 dunia, Chen Long pada final acara badminton perseorangan lelaki.
Bagi Chong Wei yang kini sudah berusia 34, kekalahan tersebut terlalu pahit untuk ditelan, lebih-lebih lagi ini merupakan Olimpik terakhirnya. Setelah bergelumang selama 23 tahun dalam sukan badminton sejak berusia 11 tahun lagi, emas Olimpik memang menjadi cita-citanya, tetapi dia tetap berdepan halangan untuk menyempurnakannya.
Dalam dua percubaannya sebelum ini iaitu di Olimpik Beijing (2008) dan London (2012), impiannya untuk menggenggam emas dihalang oleh musuh tradisinya, Lin Dan yang ditewaskannya pada pusingan separuh akhir kelmarin dan kali ini hajat besar pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu disekat seorang lagi pemain China, Chen Long.
Kegagalan dalam tiga percubaannya untuk merangkul emas Olimpik itu dilihat sebagai sebahagian daripada episod duka dalam karier Chong Wei. Selain belum mampu memenuhi impian untuk bergelar juara pada Kejohanan Dunia, isu penggantungannya gara-gara positif doping pada tahun 2014 turut menjadi cabaran yang perlu diharunginya sebelum kembali bergelar No. 1 dunia awal tahun ini.
Apa yang pasti, sebelum Chong Wei menggantung raketnya, dia akan kekal dikenang sebagai ‘Raja’ kejohanan Siri Super Dunia yang hampir kesemua disapunya kecuali Kejohanan Dunia dan Olimpik.
0 comments:
Post a Comment