Skuad badminton negara berada dalam kelas tersendiri pada Sukan Olimpik Rio apabila satu lagi wakil menempah slot perlawanan akhir semalam. Selepas pasangan beregu campuran terlebih dahulu melakar kejutan, kali ini giliran beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong terus menceriakan kontinjen negara untuk setidak-tidaknya mampu pulang dengan sebutir lagi pingat perak.
Pasangan negara itu berjaya menewaskan beregu di ranking kelima dunia dari China, Chai Biao dan Hong Wei 21-18, 12-21, 21-17 dalam pertarungan yang mengambil masa selama 64 minit.
Pada set pertama, pasangan negara berjaya mempamerkan aksi cukup tenang apabila menguasai sebahagian besar perlawanan tersebut sebelum diikat beregu China dengan kedudukan 18-18, namun V Shem-Wee Kiong berjaya memperkemaskan permainan untuk meraih kemenangan pada set tersebut.
Momentum kemenangan pada set pertama gagal diteruskan beregu negara pada set kedua apabila pasangan China mula beraksi cemerlang dan berjaya menjarakkan kedudukan sehingga pada suatu ketika meninggalkan pasangan negara dengan tujuh mata sebelum selesa meraih kemenangan agak mudah.
Gema teriakan ‘Malaysia Boleh’ di Pavilion 4, Riocentro nyata mengembalikan semangat beregu negara apabila kembali fokus untuk meraih kemenangan pada set penentuan, sekali gus mara ke pentas final.
Menurut Wee Kiong, mereka mampu menamatkan perlawanan lebih awal pada set kedua, namun hilang fokus menyebabkan mereka terpaksa melepaskan aksi tersebut dan memberi kemenangan kepada pasangan China. “Kami terlalu ghairah untuk menghabiskan perlawanan ini dengan cepat pada set kedua dan ia menyebabkan kami hilang tumpuan seketika.
“Namun selepas berbincang dengan V Shem dan jurulatih, kami mula rangka taktik baharu dan set ketiga menyaksikan apa yang kami rancang menjadi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tamat.
Tambahnya, strategi menjarakkan kedudukan mata merupakan faktor penting untuk mereka merakam kemenangan tersebut. Sementara itu, V Shem memberitahu, set ketiga mereka sudah tidak fikir banyak dan terus dengan corak permainan menyerang selain berjaya mengurangkan kesilapan untuk tidak memberikan mata mudah buat pasangan lawan.
Rekod pertemuan kedua-dua pasangan itu sebelum ini seimbang apabila masing-masing mencatat tiga kemenangan dan tiga kekalahan di mana kali terakhir mereka bertemu adalah pada Terbuka Indonesia, Jun lalu yang dimenangi oleh beregu China itu.
Pada perlawanan akhir Sabtu ini, V Shem-Wee Kiong kini menanti pemenang antara pasangan China, Fu Haifeng-Zhang Nan atau beregu dari Britain, Marcus Ellis-Chris Langridge yang akan beraksi dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Sementara itu, Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang melakar sejarah apabila meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Rio dalam perlumbaan akhir keirin lelaki, sebentar tadi. Pelumba berusia 28 tahun dari Terengganu itu tewas di tangan pelumba Britain, Jason Kenny yang memenangi pingat emas manakala Matthijs Buchli dari Belanda memenangi perak.
Ia pingat pertama diraih kontinjen negara dalam acara berbasikal Sukan Olimpik. Bagi Azizul, ia pingat pertama selepas hanya menduduki tangga ke-10 di Beijing 2008 dan keenam di London 2012. Setakat ini, Malaysia sudah meraih satu perak dan satu gangsa selepas penerjun Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong menang perak dalam acara 10m platform seirama, sebelum ini.
0 comments:
Post a Comment