My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 16 November 2017

    Berbakti Menerusi Sains, Matematik



    Cantik dan bijak. Itu antara gabungan personaliti terbaik bagi mencerminkan istilah cantik yang sebenar kepada mana-mana wanita. Tidak cukup mengukur kecantikan wanita berdasarkan sifat luaran dan penampilan semata-mata. Kecantikan kecantikan sebenar lebih tepat dinilai melalui kebijaksanaan wanita itu. 

    Tiga saintis wanita negara, baru-baru ini membuktikan mereka memiliki kedua-dua elemen itu iaitu cantik dan bijak selepas memenangi anugerah L’Oreal-UNESCO For Women in Science Fellowship yang menjadi rebutan ramai wanita.

    Tiga penerimanya adalah Dr Ho Weang Kee dari University of Nottingham Malaysia, Dr Jasy Liew Suet Yan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dr Teh Su Yean. Dr Ho, 35, meraih anugerah terbabit di atas usahanya dalam mengembangkan model jangkaan risiko bagi kanser payudara.

    Semua orang maklum betapa besarnya kesan yang dialami sebaik seseorang wanita disahkan menghidap kanser payudara. Sebagai wanita, Dr Ho sendiri rasa terpanggil untuk menyumbang sesuatu berdasarkan ilmu yang dimilikinya kepada masyarakat terutama dalam melawan kanser payudara.

    Saintis muda ini mengakui, sejak kecil dia memang bercita-cita tinggi dan lucunya cita-cita itu sering berubah-ubah tetapi kerjaya sebagai saintis tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Daripada mahu menjadi guru tadika, dia bertukar fikiran untuk bekerja sebagai guru kelas tambahan tetapi akhirnya Dr Ho jatuh cinta dengan matematik.

    Ho beruntung kerana ibu bapanya sering memberi galakan dengan mengatakan dia boleh jadi mengejar apa saja impiannya.

    “Saya melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Matematik supaya boleh mengajar orang lain. Ketika itulah minat terhadap sains mula bercambah dan saya mendapati boleh menggunakan matematik dalam merungkaikan pelbagai persoalan saintifik,” katanya. 

    Rekaannya itu membolehkan saringan kanser payudara dioptimumkan dan wanita yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi perlu menjalani saringan pada usia lebih muda dan kerap. Proses itu akan mengurangkan risiko mendapat kanser payudara.

    MANFAATKAN MEDIA SOSIAL

    Penerima anugerah kedua, Dr Jasy pula diiktiraf atas usahanya membina sebuah sistem yang mengesan tanda kemurungan dengan menganalisis corak emosi di media sosial. Dalam dunia digital hari ini yang penggunaan media sosial sangat meluas, Dr Jasy percaya dan yakin tanda kemurungan boleh dikesan dengan cepat melalui saluran itu.

    Dalam penyelidikannya, dia cuba melihat corak emosi yang dikaitkan dengan kemurungan melalui gaya penulisan mesej, tweet atau sebarang komen di media sosial yang biasanya mengandungi petanda keadaan emosi seseorang.

    Dia kemudian menggunakan pengesan emosi automatik bagi memantau keadaan emosi seseorang sebagai pencetus amaran dan mencadangkan strategi bersesuaian untuk meredakan emosi apabila corak kemurungan dikenal pasti.

    “Ketika bertungkus-lumus menghabiskan pengajian di peringkat PhD, saya mendapati ramai rakan yang menunjukkan tanda kegelisahan dan kemurungan. Saya juga menemui ada laporan yang mengatakan satu dalam dua pelajar PhD mengalami tekanan psikologi dan ia menyedarkan saya ia adalah perkara serius dan perlu diberikan pendedahan sewajarnya.

    “Saya kini cuba menggunakan teknologi untuk mengesan emosi yang dipaparkan dalam penulisan mesej dan berharap dapat mencipta aplikasi yang sensitif emosi supaya ia dapat membantu memantau serta menghalang seseorang daripada terjerumus dalam perangkap kemurungan,” katanya.

    Cinta Dr Jasy terhadap sains sebenarnya bermula sejak kecil, diinspirasikan oleh watak Doraemon, robot kucing berwarna biru yang berjaya menarik perhatian jutaan penonton di seluruh dunia. Minatnya dirangsang dek poket ajaib Doraemon yang boleh mengeluarkan pelbagai gajet hebat untuk menyelesaikan pelbagai masalah.

    Perasaan ingin tahu memuncak sehingga dia menyimpan misi untuk mencari penerangan sains di sebalik setiap gajet dan sering tertanya bagaimana alat berkenaan berfungsi.

    Apabila diperkenalkan kepada sains komputer oleh kakaknya, dia begitu teruja dengan pelbagai perkara yang boleh dilakukan menggunakan ilmu baru itu dan berazam memanfaatkan teknologi dalam menjadikan dunia ini lebih baik. Wanita berusia 32 tahun ini berharap supaya teknologi yang peka dengan emosi ini dapat menggalakkan diagnosis dan rawatan awal.

    SUKA SAINS SEJAK KECIL

    Bekerja dalam pengurusan sumber mapan, seorang lagi penerima anugerah, Dr Teh meraih anugerah itu atas usaha menggabungkan sains, kejuruteraan, teknologi dan matematik untuk melindungi sumber perairan pantai di Malaysia.

    Dr Teh mengakui sejak berada di sekolah menengah lagi dia memang sangat sukakan subjek Sains dan bercita-cita menjadi saintis. Minatnya terus dirangsang apabila belajar matematik yang disifatkan boleh merungkaikan pelbagai masalah hidup.

    “Perkara itu mendorong saya untuk menjadi lebih kreatif dan mencabar diri sendiri dalam mencari penyelesaian bagi apa juga masalah. Sains membuatkan saya rasa gembira dan berupaya. Saya rasa puas apabila dapat menggunakan sains untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

    “Sains bukan hanya untuk orang pandai. Jangan takut dengan cerita mengenai sains yang tiada bukti kesahihannya. Sains membuka banyak pintu kepada peluang kerjaya dalam pelbagai bidang. Apa yang penting kita perlu menerokanya,” katanya.

    Kini dalam tahun ke-12, anugerah tahunan L’Oreal-UNESCO For Women in Science Fellowship dihasilkan untuk mengiktiraf dan memaparkan sumbangan saintis wanita. Selain memberi penghormatan kepada kecemerlangan saintifik, L’OrÈal Foundation dan rakan kongsinya berharap untuk meningkatkan kesedaran dan minat dalam sains dalam kalangan rakyat Malaysia.

    Pengarah Urusan L’OrÈal Malaysia Malek Bekdache berkata, tahun ini, anugerah L’OrÈal-UNESCO For Women in Science Fellowship mempunyai jumlah penyertaan paling tinggi dengan peningkatan sebanyak 66 peratus berbanding tahun lalu.

    “Sambutan yang baik bagi anugerah saintifik ini memberikan harapan bahawa minat pada sains dalam kalangan wanita generasi sekarang semakin meningkat.

    “Tahniah kepada University of Nottingham Malaysia kerana tampil sebagai universiti swasta pertama memenangi anugerah ini. Anugerah yang menjadi rebutan ramai ini terbuka bagi semua pengkaji atau saintis wanita Malaysia di bawah usia 40 tahun, yang memegang ijazah doktor falsafah atau sedang menjalani pembelajaran kajian dalam mana-mana bidang saintifik,” ujarnya.

    Setiap penyertaan dipertimbangkan berdasarkan set kriteria yang komprehensif, termasuklah kepentingan projek daripada segi sumbangan nilai dan merit, keaslian dan tujuan, sumbangan kepada sains, metodologi, pencapaian akademik dan kualiti projek secara keseluruhan.

    Kata Bekdache, pihaknya berharap anugerah ini dapat menggiatkan lagi tugas penting pengkaji wanita dalam membangunkan masyarakat, serta meningkatkan minat dalam sains dalam kalangan generasi pembangun negara yang seterusnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Berbakti Menerusi Sains, Matematik Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top