JET pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini. Kejadian berlaku jam 2.41 petang apabila juruterbang pesawat berkenaan menyedari berlaku kerosakan pada tayar selepas berlepas menjalankan latihan dari Pangkalan TUDM Labuan.
Pengurus Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Wilayah Sarawak Wan Johari Wan Shahid berkata, pesawat berkenaan dilihat berlegar-legar di ruang udara sebelum memaklumkan perkara itu kepada menara kawalan.
Menurutnya, juruterbang pesawat itu melaporkan alat penunjuk tayar jet pejuang berkenaan mengesan tayar tidak turun dengan sempurna dan memerlukan pendaratan cemas. “AFRS mengisytiharkan kecemasan dan pesawat komersial lain tidak dibenarkan berlepas serta mendarat di LTAK.
“Juruterbang TUDM itu melakukan penerbangan rendah sebelum pasukan AFRS mengesahkan tiga tayar jet pejuang F/A-18D Hornet sudah keluar dengan sempurna untuk melakukan pendaratan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, jet pejuang berkenaan kemudian berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang insiden tidak diingini. “LTAK dibuka semula selepas pendaratan cemas itu selesai untuk operasi seperti biasa, pada jam 3.22 petang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment