Beratus-ratus ribu warga Catalonia berarak kelmarin untuk menuntut pembebasan puluhan wakil rakyat tempatan yang dipenjarakan kerana menyokong kemerdekaan daripada Sepanyol.
Protes lebih dua jam di ibu kota Catalonia, Barcelona itu berlangsung sehari selepas Speaker Parlimen wilayah berkenaan dibebaskan daripada penjara selepas membayar wang ikat jamin berjumlah 150,000 euro(RM732,637).
Penunjuk perasaan berhimpun di sebuah dataran berhampiran bangunan Parlimen sambil mengibarkan bendera kemerdekaan Catalonia dan melaungkan slogan ‘Kebebasan’. Polis bandar raya Barcelona berkata, kira-kira 750,000 orang menyertai demonstrasi besar-besaran itu.
Krisis Catalonia menimbulkan kebimbangan kepada Kesatuan Eropah (EU) ketika blok itu berdepan Brexit. EU kini resah mengenai nasib 7.5 juta penduduk Catalonia selepas lebih 2,400 perniagaan telah memindahkan ibu pejabat mereka ke tempat lain.
Pada Rabu lalu, tunjuk perasaan serupa oleh kesatuan sekerja prokemerdekaan mencetuskan kekalutan perjalanan. Kumpulan penunjuk perasaan menutup sebanyak 60 jalan raya dan landasan kereta api termasuk lebuh raya utama yang menghubungkan Catalonia dengan Perancis dan negara Eropah lain.
Wakil rakyat dan pegawai prokemerdekaan menerima tekanan daripada Madrid sejak Parlimen Catalonia mengisytiharkan kemerdekaan wilayah itu pada 27 Oktober lalu susulan pungutan suara yang diharamkan.
Kerajaan pusat Sepanyol telah memecat pemimpin Catalonia, Carles Puigdemont, kerajaannya dan Parlimen dan memansuhkan autonomi wilayah itu. Madrid mengumumkan pilihan raya baharu akan diadakan di Catalonia pada 21 Disember tahun ini.
0 comments:
Post a Comment