Tanggapan dan maklumat yang salah mengenai kanser payudara metastatik (mBC) masih lagi berleluasa dalam kalangan wanita di Malaysia. Berdasarkan tinjauan dalam talian yang dijalankan oleh Pfizer di Asia Pasifik dan negara ini tahun lalu, mendapati masyarakat masih kurang kesedaran termasuk kefahaman mengenai kanser payudara metastatik.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa 35 peratus rakyat Malaysia tidak pernah mendengar mengenai kanser payudara metastatik yang juga dikenali sebagai kanser payudara peringkat serius, manakala tujuh daripada 10 mempunyai kepercayaan yang tidak tepat bahawa kanser jenis ini boleh diubati.
Kanser payudara metastatik adalah kanser payudara tahap empat yang semakin parah dan ketika ini masih belum ada penawarnya. Pada peringkat metastatik, kanser akan merebak ke bahagian badan yang lain dan lazimnya akan merebak ke tulang, paru-paru, hati dan otak.
Dianggarkan 20 hingga 50 peratus pesakit yang pada mulanya dikesan menghidap kanser payudara primer lama-kelamaan akan mengalami peringkat metastatik.
Dalam usaha memperkasakan pesakit kanser payudara menerusi pengetahuan yang lebih mendalam dan jaringan sokongan yang lebih kukuh dalam menguruskan mBC, Pfizer Malaysia mengambil inisiatif kesedaran komuniti dan menghasilkan buku panduan pesakit yang komprehensif mengenai kanser payudara peringkat metastatik.
Buku panduan yang mengandungi 75 muka surat ini bertajuk ‘Your Journey Starts Here: Living with Metastatic Breast Cancer’, adalah buku panduan pertama seumpamanya yang akan menjadi sumber rujukan yang tidak ternilai bagi pesakit mBC dan ahli keluarga mereka dalam menghadapi penyakit terbabit.
Pakar Perunding Onkologi Institut Kanser, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Mastura Md Yusof berkata, kanser secara umumnya menerbitkan perasaan takut dan membabitkan tekanan perasaan, bebanan kewangan serta perubahan gaya hidup.
“Bagi pesakit kanser metastatik, biasanya mereka dibayangi dengan kematian dan ramai yang tidak mempunyai semangat untuk hidup. Wanita yang menghidap mBC mungkin berasa terasing, mengalami kemurungan dan ketakutan.
“Malangnya, kita tidak mempunyai sumber dan bahan pendidikan yang mencukupi jika dibandingkan dengan mereka yang menghidap kanser payudara peringkat awal.
"Oleh itu, sebuah buku panduan mengenai mBC ini membolehkan lebih ramai wanita yang didiagnosis dengan kanser tahap serius ini mengendalikan pengurusan penyakit mereka dan membuat keputusan yang sewajarnya dengan objektif dan jangkaan yang lebih jelas,” katanya pada majlis pelancaran buku itu di ibu negara, baru-baru ini.
Dianggarkan sebanyak 1.7 juta kes baru kanser payudara dikesan di seluruh dunia setiap tahun. Secara globalnya, lima hingga 10 peratus pesakit yang baru dikesan menghidapi kanser payudara sudah mencapai peringkat metastatik.
Di negara berpendapatan rendah dan pertengahan, dianggarkan 50 hingga 80 peratus daripada pesakit yang baru dikesan menghidapi penyakit kanser payudara sudah berada di tahap yang serius.
Di negara maju pula, kira-kira 30 peratus wanita yang dikesan menghidapi kanser payudara peringkat awal kemudiannya akan mengalami peringkat metastatik dan jumlah ini mungkin lebih tinggi di negara kurang maju.
Pakar kesihatan awam menganggarkan dari 2015 hingga 2030, kematian yang berkait dengan kanser payudara di seluruh dunia akan meningkat sebanyak 43 peratus dan majoritinya adalah disebabkan penyakit peringkat metastatik.
Pakar Perunding Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Madya Dr Ho Gwo Fuang berkata, kanser payudara metastatik mungkin tidak dapat disembuhkan, tetapi ia pastinya boleh dirawat bergantung pada tahap pesakit dan sejauh mana sel kanser sudah merebak.
Selepas menilai semuanya, doktor akan mengesyorkan sama ada pesakit boleh menerima terapi hormon, kemoterapi, radioterapi atau pembedahan payudara.
“Kami mempunyai pilihan rawatan untuk membantu mengecilkan tumor, memperbaiki kualiti hidup dan membolehkan pesakit hidup lebih lama. Walaupun pembedahan dan radiasi mungkin bermanfaat dalam sesetengah situasi, terapi sistemik adalah kaedah utama buat masa ini.
“Ini termasuklah kemoterapi, terapi hormon, terapi sasaran atau kombinasi modus terbabit. Adalah penting bagi pesakit kanser payudara untuk mendapat akses sepenuhnya pada maklumat yang tepat untuk membuang sebarang tanggapan yang salah dan mengelakkan mereka daripada menghentikan rawatan akibat maklumat yang salah mengenai kanser payudara metastatik,” katanya.
Buku panduan pesakit mBC ini dipersembahkan dalam format yang mudah dibaca, lengkap dengan ilustrasi grafik supaya pesakit dapat memahami fakta penting dan maklumat perubatan berkenaan kanser payudara metastatik.
Buku ini yang disemak dan disunting oleh Dr Mastura dan Dr Ho bagi membantu pesakit membuat keputusan yang sewajarnya berhubung pelbagai kaedah rawatan yang berbeza dan pusat perubatan yang menyediakan rawatan untuk mBC.
Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Korporat, Kesihatan dan Nilai Pfizer Malaysia, Noor Yang Azwar Kamarudin berkata, pihaknya ingin memperbaiki jurang maklumat antara penyakit pada peringkat awal dan metastatik. Namun, apa yang lebih penting adalah untuk menggalakkan perbincangan yang produktif mengenai rawatan dan pengurusan kanser payudara metastatik.
“Kebanyakan program dan aktiviti kesedaran komuniti lebih tertumpu pada pengesanan awal dan rawatan kanser payudara sehingga menyebabkan adanya ruang kosong berkenaan pendidikan dan maklumat mengenai kanser payudara peringkat serius.
“Pesakit yang menghidap mBC dan keluarga mereka tidak mempunyai panduan yang mencukupi untuk mengekalkan kualiti hidup yang terbaik selama yang mungkin. Mereka memerlukan maklumat yang tepat dan komprehensif mengenai penyakit yang amat digeruni itu, pilihan rawatan yang ada dan cara untuk menghadapi kesan sampingannya.
“Selaras dengan komitmen Pfizer untuk membawakan ubat-ubatan inovatif yang boleh menyelamatkan nyawa dan memanjangkan usia pesakit kanser, kami berharap buku panduan pesakit mBC yang baru ini akan menjadi kompas untuk membantu pesakit di Malaysia menghadapi penyakit mereka,” katanya.
Buku panduan pesakit mBC ini boleh diperoleh di semua pusat kanser kerajaan dan swasta di seluruh negara serta kumpulan sokongan pesakit kanser. Pesakit juga boleh mendapatkan salinan buku itu di klinik onkologi mereka.
Selain untuk pesakit, buku ini juga boleh dijadikan rujukan untuk penjaga dan pakar perubatan lain mengenai cara untuk memberikan sokongan serta bantuan yang sewajarnya kepada sesiapa yang menghidapi mBC.
0 comments:
Post a Comment