My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 21 November 2017

    Cyberfest 2017 Buka Jalan



    Dalam banyak industri yang nampak serius, industri game paling dekat dengan hati remaja sekarang. Meskipun masih di peringkat muda, kita sedang bertatih untuk menyaingi gergasi besar yang sudah belasan tahun bermain. Namun, belum terlewat untuk segala-galanya jika ada lonjakan dan sokongan dari dalam negara sendiri. 

    Apatah lagi dengan penggunaan telefon pintar yang menjadi platform sosial dalam kehidupan, peluang terbuka untuk mana-mana pihak menampilkan inovasi asalkan mempunyai idea kreatif yang bermain di fikiran.

    Bayangkan syarikat pembangun game seperti Streamline Studios pun berani membuka studio di negara ini dan mengakui bakat tempatan sehingga membuka studio mereka di negara ini dalam usaha memperkukuhkan tapak di Asia.

    Streamline Studios terkenal dengan beberapa jenama seperti Final Fantasy XV, Street Fighter V, Bioshock, James Bond, Avatar, Coca-Cola, Twentieth Century Fox dan Intel. Kita tahu Asia memainkan peranan pembangunan game di dunia seperti yang dapat disaksikan di Jepun.

    Oleh itu, kita perlu memperkasakan industri yang lama di Asia dan Malaysia antara lokasi sesuai sebagai masa depan game. Bukti bakat Malaysia dalam industri game sudah terserlah pada anak muda Wan Hazmer Wan Ab Halim yang kini menerajui pasukan pereka game di Square Enix.

    Ramai pemain dan pasukan dibentuk serta bersaing bukan saja di peringkat tempatan, namun menempa nama di persada antarabangsa. Kita perlu bertindak bukan saja sebagai pengguna, namun potensi lebih besar iaitu bersedia menjadi pembangun game terbabit.

    Industri game juga kini diiktriaf sebagai e-sukan yang mana sukan ini sememangnya sama saja popularnya dengan bola sepak namun industrinya lebih luas. Dalam kajian yang dijalankan tahun lalu, Malaysia menjadi pasaran kedua tertinggi di rantau ini berjumlah $516 juta di belakang Singapura bagi industri game.

    Kita memiliki 15.6 juta pemain yang bermakna satu daripada dua rakyat negara ini adalah ‘gamer’ tidak kira ia membabitkan game santai, konsol dan sebagainya. Sebanyak 8.1 juta pemain sanggup membayar purata $63.57 setahun bagi pelbagai tujuan membabitkan game.

    Dengan populasi online kini menjangkau 22.8 juta, lebih besar potensi game yang dapat dilihat malah ia boleh menjadi kerjaya baru remaja sekarang. Industri game membuka skop pekerjaan seperti pengaturcara, artis, penguji, penerbit, pereka, juruanalisis data dan pengurusan perniagaan game. 

    Laporan Bakat Industri Game SEA 2016 individu yang terbabit dalam industri ini majoritinya mempunyai ijazah sarjana muda iaitu 37 peratus manakala 24 peratus pula pemegang diploma sementara lima peratus lain mempunyai ijazah sarjana.

    Sektor pendidikan pula memainkan peranan penting dalam industri ini dan menariknya ia memperoleh sokongan bukan saja membabitkan aktiviti seperti pertandingan dalaman secara kerap tetapi turut menawarkan kursus berkaitan game.

    Sehingga kini, lebih 20 institusi pengajian tinggi (IPT) menawarkan kursus dalam bidang game termasuk Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Multimedia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Management & Science University, Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Teknologi Malaysia, Kolej Komuniti Selayang dan Asia Pacific University of Technology & Innovation.

    Turut tersenarai, Swinburne University of Technology, INTI International College Subang, Open University Malaysia, HELP College of Arts and Technology, Universiti Kebangsaan Malaysia, KDU University College, Nilai University, Universiti Tunku Abdul Rahman, The One Academy, Lim Kok Wing dan Dasein Academy of Art.

    Ia menunjukkan IPT tempatan juga mampu menawarkan bakat baru dalam industri permainan yang bukan sekadar bermain game semata-mata. Malah, kursus berkaitan game juga kian bertambah manakala akreditasi pula semakin diterima dan ditambah baik mengikut standard antarabangsa.

    Tidak hairan, negara luar terutama yang sudah lama berkecimpung dalam industri game juga memandang Malaysia dengan nilai yang tinggi. Kebanyakan syarikat berkaitan game juga giat melakukan ‘scout’ bagi mencari bakat baru dan seharusnya pertandingan seperti Cyberfest 2017 menjadi tumpuan anak muda bagi menyerlahkan bakat yang mampu dikembangkan di peringkat tinggi.

    Kemeriahan e-sukan diteruskan dengan penganjuran CyberFest 2017 yang dijangka turut meningkatkan pemahaman mengenai industri terbabit di negara ini. Penganjur CyberFest Asia Rinie Ramli, berkata acara mendidik rakyat Malaysia secara amnya ‘permainan’ adalah industri menguntungkan.

    “Dianjurkan Spotgamers, JomGaming dan GamesBond, CyberFest 2017 akan mempunyai pertandingan game, pameran pendidikan permainan, pertandingan e-sukan, permainan ‘tabletop’, parti LAN, jualan & pameran dan aktiviti berkaitan permainan lain.

    “Acara ini berjaya menghasilkan kerjasama dengan Empire City sebagai penaja utama, E-blue sebagai penyedia kerusi rasmi, Cyberview Sdn Bhd dan sebagai rakan strategik,” kata Rinie. 

    CyberFest 2017 dianjurkan pada 24-26 November 2017 di Empire City. “Menariknya, kami turut mempunyai pameran pendidikan permainan menampilkan institusi pendidikan tinggi menawarkan kursus pembangunan permainan yang tersedia di negara ini dan luar negara,” katanya.

    Katanya, ibu bapa juga boleh menyaksikan sendiri bagaimana bermain game mampu menjadi karier untuk anak mereka. “Syarikat game juga akan menyertainya dan membuka peluang pekerjaan di negara ini,” katanya. Beliau berkata, CyberFest menyasarkan 3,000 pemain menyertai pelbagai permainan.

    “Tiga sukan utama, Dota 2, CS: GO dan FIFA 18 dengan jumlah hadiah RM100,000 akan dipertaruhkan,” katanya.

    Acara ini berjaya menghasilkan kerjasama dengan Empire City sebagai penaja utama, Omen by HP sebagai peranti rasmi game, AMD sebagai pemprosean rasmi, E-blue sebagai penyedia kerusi rasmi, Cyberview Sdn Bhd sebagai rakan strategik dan mendapat pengiktirafan dari Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM).

    Ia turut membabitkan 12 komuniti game dan studio seperti 1337 Gaming, Freekgaming, Kitagamers, Lexder, QK Ground, Gamerster, Gamesfusion, Console War, Green Zone, Man's Playstation Planet, Seven Legend, Kuppy Station, Hitbox Gaming, Guilty Gear Malaysia, MYCG, Infinite Carnage, Malaysian Tekken Society, GiP, Bunny Team dan APU Esports Malaysia Academy.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Cyberfest 2017 Buka Jalan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top