Tokyo Motor Show (TMS) 2017 menjadi medan bagi Toyota Motor Corporation (TMC) memaparkan pelbagai inovasi terkini dalam industri permotoran yang dicapainya sama ada menerusi pengenalan model baru kereta mahupun mempertontonkan konsep kenderaan futuristik yang bakal mengubah corak mobiliti dunia pada masa akan datang.
Beberapa model baru kereta keluarannya yang dinaik taraf daripada pelbagai aspek kejuruteraan diperkenalkan pada TMS 2017 yang berlangsung di Big Sight, sebuah bandar pinggir pelabuhan di luar kota metropolis Tokyo.
Antaranya, model kereta sport Toyota GR Hybrid dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Tj Cruiser yang ditambah nilai menjadi kenderaan yang menyeronokkan. Malah, kereta mewah klasik Toyota Century turut dipersembahkan selepas dinaik taraf untuk kali kedua dalam tempoh 50 tahun pembikinannya.
Pengenalan model baru dan kereta konsep futuristik itu adalah bersandarkan slogan ‘Mobiliti Untuk Semua’ yang diterapkan oleh TMC sebagai tanggungjawabnya untuk menggapai kata kunci yang baru diperkenalkan iaitu ‘Mulakan Sesuatu yang Mustahil’.
Kata kunci berkenaan selari dengan insiatif korporat yang diinspirasikan sempena perkongsian syarikat gergasi automatif dunia itu dengan penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 yang bakal berlangsung di Tokyo tiga tahun lagi. Model lain yang dipertontonkan pada TMS 2017 termasuk Toyota Crown yang dijadikan teksi di negara matahari terbit itu sejak sekian lama,
Concept-i Series, Concept-i Walk, Japan Taxi, Lexus LS, Fine Comfort Ride dan bas berkuasa elektrik Sora.
“Walaupun manusia sedang beralih ke wilayah baru seperti penggunaan robot pembantu atau perkhidmatan kongsi kenderaan, ada sesuatu yang agak istimewa mengenai kereta, sesuatu yang semua bentuk mobiliti harus terus memberikan inspirasi iaitu kebebasan kerana apabila manusia bebas bergerak, segala kemungkinan akan berlaku.
“Saya percaya sebab itulah kereta adalah sesuatu yang menyeronokkan dan manusia melihat kereta sebagai sesuatu yang mereka sayang, bukan hanya sekadar sebuah jentera,” kata Naib Presiden Eksekutif TMC, Didier Leroy.
Atas keyakinan itulah, katanya, TMC mengembangkan keupayaan dalam bidang teknologi yang boleh membantu manusia bergerak serata tempat atau di sekeliling sebuah bilik dengan pengalaman yang lebih baik.
Concept-i Series termasuk Concept-i Ride dan Concept-i Walk adalah bukti inovasi yang terhasil daripada perkembangan bidang teknologi yang diterokai TMC. Concept-i bukan sekadar latihan reka bentuk atau hanya sebuah kereta. Ia adalah objek menarik yang bakal menjadi teman manusia hasil daripada penerokaan Artificial Intelligence (AI) dan teknologi sambungan.
I membolehkan sistem membaca fikiran pemandu dan memastikan ia sentiasa berhubung bagi mengurangkan risiko kemalangan. Ia memahami apa yang pemandu suka, apa yang ingin dilakukan, sekali gus menjalinkan hubungan dengan manusia.
Namun, Concept-i tidak dihasilkan sendirian kerana i-Walk membolehkan manusia meneruskan perjalanan di tempat kereta tidak dibenarkan masuk ,manakala i-Ride akses bebas halangan kepada pergerakan peribadi dengan menggunakan kerusi roda. Keseluruhan i-Series berkongsi ejen AI yang sama, iaitu Yui yang menjadikan ia kenderaan yang manusia sayangi dan sebaliknya.
“Terima kasih kepada penyambungan dan Big Data yang telah membolehkan AI menjadi suatu kenyataan,” kata Leroy. Fokus kedua diberikan TMC ialah pemanduan automatik yang turut menjadi teknologi utama bagi merealisasikan konsep ‘mobiliti untuk semua.’
Toyota sedang membangunkan mod ‘Chauffeur’ (pemandu) dan ‘Guardian’ (pelindung) di mana sesebuah kereta mampu mengendalikan semua tugas pemanduan sendiri mengikut mod Chauffeur. Bagi mod Guardian pula, Toyota menggabungkan kebolehan manusia dan jentera untuk menjadikan pemanduan lebih selamat, selain mengekalkan kebebasan memandu berikutan teknologi kereta sentiasa memantau untuk menjamin keselamatan pemandu.
Guardian dan Chauffeur menggambarkan keunikan pendekatan Toyota dalam membangunkan sistem keselamatan di mana pemandu dan kereta yang dipandu menjadi rakan seperjalanan yang dikenali sebagai Rakan Mobiliti. Ia dijangka berada di pasaran pada 2020 bagi kegunaan di lebuh raya dan bakal diperluaskan penggunaannya di jalan raya biasa tidak lama selepas itu.
0 comments:
Post a Comment