My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 10 November 2017

    Harta Pengedar Dadah Bernilai RM4.937 Juta Disita



    Bagi tempoh Januari hingga September lalu, pihak berkuasa merampas harta benda bernilai RM4.937 juta daripada pengedar dadah di seluruh Sarawak, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak diberitahu hari ini. 

    Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata dalam tempoh itu juga enam sindiket pengedaran dadah utama ditumpaskan di negeri itu.

    Sepanjang tempoh itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri membuat 1,352 tangkapan selain mengesan 3,408 kes positif dadah melalui ujian air kencing, katanya menjawab soalan Mohammad Razi Sitam (BN-Saribas) pada hari kedua persidangan, di sini.

    Katanya sehingga 26 Okt lepas, sebanyak 89 program dan aktiviti pendidikan pencegahan dadah dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan dengan usaha sama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang membabitkan 9,556 peserta.

    Sementara itu, Menteri Muda Bekalan Air Sarawak Datuk Liwan Lagang semasa menjawab soalan Datuk Henry Jinep (BN-Tasik Biru) yang bertanya status projek pembekalan air bernilai RM129 juta di kawasan Dewan Undangan Negeri Tasik Biru dan Tanjung Datu, berkata peruntukan untuk pelaksanaannya sudahpun diluluskan.

    Beliau berkata projek yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa kempen pilihan raya kecil awal tahun ini dilaksanakan di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar yang dibahagikan kepada dua fasa.

    Katanya Fasa pertama membabitkan pemasangan paip di kawasan Lundu-Pandan kini di peringkat dokumentasi tender manakala fasa kedua yang melibatkan kerja-kerja pemasangan paip ke sekitar kawasan pekan Biawak dan Sematan hanya dapat diteruskan kemudian nanti, disebabkan pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo kini sedang berlangsung di kawasan itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Harta Pengedar Dadah Bernilai RM4.937 Juta Disita Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top