Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, antara modus operandi yang begitu hebat dilakukan oleh Pakatan Harapan adalah mewujudkan perpecahan dalaman di dalam Barisan Nasional. Mereka sedaya upaya melaga-lagakan UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan hampir kesemua parti komponen Barisan Nasional dengan cubaan mewujudkan syak wasangka antara satu sama lain.
Pelbagai dakyah dan fitnah cuba mereka sebarkan antaranya MCA adalah proksi DAP di dalam Barisan Nasional, UMNO tidak lagi memerlukan MCA dan MIC untuk memenangi Pilihan Raya Umum dan macam-macam dakyah mengarut lagi. Lebih malang, ada diantara penyokong Barisan Nasional mempercayai dakyah-dakyah kotor seperti ini.
Mungkin mereka terlupa bahawa Barisan Nasional hari ini tidak akan wujud sekiranya tiada persefahaman yang jitu antara kesemua parti komponen dalam Barisan Nasional. Tidak wujud istilah tidak memerlukan kerana kesemua parti yang membentuk gabungan Bar
isan Nasional saling memerlukan antara satu sama lain.
Setelah beberapa ketika mereka begitu giat cuba memecah belahkan Barisan Nasional melalui hasutan dan dakyah kosong, hari ini, apa yang mereka cuba lakukan telah diterbalikkan kepada Pakatan Harapan.
Secara luarannya, mungkin kita akan melihat betapa eratnya hubungan antara DAP, PKR, PPBM dan PAN namun jika kita lihat secara mendalam, wujud saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Sebagai contoh, liat sahaja bagaimana sehingga kini, Pakatan Harapan masih bertelagah, siapa yang layak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan kelak.
Di dalam parti mereka sendiri juga wujud perpecahan dalaman yang sedaya upaya mereka cuba selindungi. PPBM, berhadapan dengan kemungkinan diharamkan penubuhannya setelah melanggar 3 undang-undang parti itu sendiri dan RoS. Amat menghairankan, bagaimana orang yang berpengalaman tidak faham dan tidak tahu peraturan RoS sehingga gagal membuat mesyuarat agung tahunan yang pertama?
DAP pula masih lagi belum mampu keluar sepenuhnya dari masalah pemilihan jawatankuasa pusat (CEC) walaupun parti berkenaan telahpun mengadakan pemilihan semula pada 12 November lalu. Sehingga kini, masih ramai yang tidak berpuas hati dengan pemilihan yang dilakukan baru-baru ini dan ada diantaranya telah membuat laporan polis dan RoS.
Di dalam PKR pula, sudah lama wujud dua buah kem yang masing-masing diketuai oleh Datin Seri Wan Azizah selaku proksi tunggal Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali pula mengetuai satu lagi kem yang menggelarkan diri mereka kem pembaharuan. Menariknya, hanya PAN sahaja yang tinggal tidak mempunyai sebarang masalah besar walaupun wujud krisis kepimpinan.
Melihat kepada bercelarunya kem pembangkang hari ini, ingin ditanyakan kepada pembangkang, siapa yang sedang berhadapan dengan perpecahan sekarang. UMNO, MCA, MIC, Gerakan, dan lain-lain parti komponen masih kekal komited dengan Barisan Nasional dan tidak timbul persoalan kemungkinan wujud perpecahan walaupun itu yang amat diingini oleh pembangkang.
Sebaliknya, pembangkang yang kononnya bercita-cita mahu menggantikan Barisan Nasional kini diibaratkan sebagai retak menanti belah. Mereka sendiri masih gagal meyakinkan para penyokong mereka bahawa mereka adalah parti yang bersih justeru, bagaimana mereka mahu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa mereka mampu membentuk kerajaan yang baik?
0 comments:
Post a Comment