My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 16 November 2017

    Semoga Fattah Jadi Hero Fazura



    PASANGAN pelakon Fattah Amin, 27, dan Nur Fazura Sharifuddin, 34, mula menjadi perhatian selepas digandingkan dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella, Mei lalu. Persahabatan yang terjalin berterusan apabila kedua-duanya sering diundang bersama dalam acara serta berbalas-balas komen di laman sosial. 

    Ramai peminat yang mengikuti drama itu mengharapkan mereka juga berpasangan dalam dunia realiti hingga muncul #Fattzura. Peminat mahu mereka digandingkan lagi dalam drama lain dan tampil dengan super telefilem Wanita Terindah untuk Astro First Ekslusif.

    Fazura mengakui lebih selesa jika jarang digandingkan bersama, bimbang peminat bosan. Baginya, peluang harus diberikan kepada Fattah untuk mencuba keserasian dengan pelakon wanita lain. Begitu juga dengan dirinya, mahu digandingkan dengan pelakon lelaki lain.

    Hubungan mereka makin menjadi perhatian September lalu apabila Fazura meraikan ulangtahun kelahiran Fattah yang ke-27 pada 14 September. Tepat jam 12 tengah malam, Fazura memberi satu ucapan istimewa buat Fattah melalui Instagram miliknya.

    Menerusi foto dan kapsyen yang dimuat naik itu, Fazura mendoakan Fattah sentiasa dirahmati Allah dengan kebaikan di dunia sehingga akhirat. Foto tersebut mendapat lebih 44,000 likes dan 1,500 komen daripada peminat. Tidak cukup dengan itu, kejutan paling manis dari Fazura apabila mengirimkan 50 kuntum mawar dari New York, Amerika Syarikat.

    Ia juga dianggap peminat sebagai tanda cinta tanpa syarat. Fattah membalasnya dengan 500 bunga ros sempena ulangtahun Fazura yang ke-34 pada 27 September. Pasangan ini terus bermain teka-teki. Jawapan yang sering diberikan ialah doa yang baik-baik dan fikir yang baik-baik.

    Hubungan mereka terus menjadi tanda tanya sehinggalah wujud #roadtopekan, Fattah dikatakan bakal merisik dan bertunang dengan Fazura pada 13 November. Bagaimanapun, pasangan ini menafikan perkara itu hingga hari kejadian berlalu. Pada 14 November, pasangan ini dikhabarkan melangsungkan pernikahan di kediaman nenek Fazura di Petaling Jaya, Selangor.

    Wartawan yang berada di lokasi sejak jam 8 malam, melihat kehadiran tetamu berpakaian seperti majlis pernikahan. Ada khemah disiapkan dan banyak kenderaan yang masuk ke kediaman banglo itu antaranya milik pereka fesyen Rizman Ruzaini.

    Tetamu yang datang ke kawasan perumahan itu juga dikawal ketat. Pengurus Fattah, Sakirin Shak atau Acha enggan mengulas lanjut mengenai berita pernikahan pasangan itu. Katanya, nantikan saja jika ada pengumuman rasmi daripada Fattah.

    Penampilan Acha berjubah putih juga menguatkan lagi spekulasi mengenai majlis pernikahan yang bakal berlangsung tetapi mengatakan dia dan Fattah sibuk membuat persiapan ke Tanah Suci keesokannya. Pada 12.10 tengah hari, Fattah dan Fazura berlepas ke Makkah menunaikan umrah bersama keluarga terdekat dan dijangka pulang pada 23 November.

    Wartawan yang menunggu pasangan ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), gagal mendapatkan kenyataan pasangan ini apabila mereka memilih untuk berdiam diri. Acha mengesahkan majlis yang berlangsung di rumah nenek Fazura adalah kenduri doa selamat sempena mengerjakan umrah.

    Acha juga mengatakan tiada majlis ‘istimewa’ di Tanah Suci sebaliknya Fattah dan Fazura menunaikan umrah, bukannya akad nikah sebagaimana diperkatakan sebelum ini. Kata Acha, satu kenyataan rasmi daripada pengurusan Fattah dan Fazura akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat selepas mereka pulang nanti. Pasangan itu mahu berlaku adil kepada semua media.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Semoga Fattah Jadi Hero Fazura Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top