Mereknung sejenak perjalanan liga Malaysia pada tahun ini, memang banyak perkara yang boleh dibicarakan. Tidak kira isu di dalam padang dan di luar padang, pasti akan menggamit perasaan para peminat sukan nombor 1 di Malaysia. Malah, rekod pasukan kebangsaan juga turut menjadi antara topik terhangat peminat tegar bola sepak negara.
Di mulakan dengan skandal rasuah yang membabitkan dua buah pasukan Liga Perdana, nyata gejala negatif ini memang sukar untuk di tangkis. Mungkin ada yang menunding jari kepada pemain yang sanggup menjual harga diri mereka namun tidak ramai yang berani mempersoalkan tahap profesionalisme di kalangan pengurusan sesebuah pasukan.
Ambil mudah begini, sekiranya pembayaran gaji di buat dengan teratur serta kebajikan para pemain dijaga dengan rapi, mungkinkah ada ruang buat mana-mana bookie perlawanan merasuah pemain? Rasa tidak mungkin berlaku. Hal inilah yang pernah membelenggu sukan bola sepak negara sehingga menyaksikan pasukan kebangsaan jatuh merudum dan gagal untuk bangkit sehingga hari ini.
Jika membicarakan hal rasuah, masalah gaji dan elaun tertunggak juga nampaknya masih menghantui kebanyakan pasukan di dalam Liga Malaysia. Bayangkan, pemain-pemain ini kesemuanya adalah pemain profesional (istilah di mana mereka menumpukan kerja mereka kepada bola sepak) tidak dibayar gaji atau elaun mengikut kontrak, bagaimana mereka mahu menyara kehidupan mereka?
Justeru, jalan paling mudah adalah menerima sahaja tawaran rasuah yang mana tawaran ini kebanyakannya menyasarkan kepada pasukan yang bermasalah. Cuba bayangkan jika kita berada di tempat mereka, sudahlah gaji tertunggak berbulan-bulan lamanya, hutang piutang dan mulut isteri dan anak harus di suap, andai tawaran bertubi-tubu mereka terima, sudah pasti pendirian juga akan turut berubah.
Selain itu, masalah penjualan tiket masih lagi menghantui para peminat terutamanya membabitkan perlawanan-perlawanan besar seperti final Piala Malaysia. Jika FMLLP menyatakan bahawa mereka kini sudah berganjak kepada pengurusan profesional, kenapa urusan tiket masih lagi berada di takuk semi profesional?
Mungkin mereka kurang menyedari bahawa negara dan dunia hari ini sudah berada di zaman digital dengan kesemua perkara berada di hujung jari. Kenapa penjualan tiket ini tidak diperluaskan kepada jualan menerusi online? Bukankah FMLLP pernah berkata, mereka menjadikan Liga Perdana Inggeris sebagai contoh terbaik untuk mentransformasikan liga Malaysia kepada liga profesional.
Sejauh pengetahun, Liga Perdana Inggeris menjual tiket mereka secara online dan jualan tiket bermusim. Justeru, untuk menyaksikan kesesakan di kaunter tiket di kesemua stadium, memang sukar untuk kita lihat. Majoritinya sudah memliki tiket bermusim yang mereka beli menerusi sistem online.
Adakah sukar buat mereka yang mentadbir perjalanan liga hari ini menyediakan satu applikasi bagi menjual tiket termasuk tiket-tiket "hot seller" seperti perlawanan akhir? Sudah tentu, tiada lagi peminat yang terpaksa bermalam di stadium seawal jam 10 malam hanya untuk membeli tiket di kaunter yang dibuka 10 pagi keesokan harinya.
Paling menyedihkan adalah, pasukan kebangsaan Malaysia yang secara majoritinya di wakili oleh mereka yang sudah layak di gelar pak cik. Agak menghairankan, adakah Nelo Venggada tidak mempunyai pengalaman atau pemain yang bermain di liga Malaysia ini sebenarnya bukan bertaraf profesional dan antarabangsa?
Bayangkan muka-muka lama yang secara puratanya berumur 30 tahun bermain secara kompetetif di peringkat antarabangsa bersaing dengan pasukan yang secara puratanya berumur antara 25 hingga 27 tahun. Pastinya dari segi stamina, skill dan kekuatan, pasukan lawan jauh kehadapan berbanding pasukan Malaysia.
Tidak dapat dipastikan bagaimana kreateria pemilihan pemain di lakukan. Samada mereka mengikut langkah pasukan profesional antarabangsa yang lain ataupun tidak namun jika dinilai dari segi pemilihan, nampaknya Nelo Venggada sendiri tidak dapat lari dari memilih mereka yang acapkali mewakili negara sejak dari zaman Dollah Salleh lagi.
Juga tidak dapat dipastikan samada pemilihan pemain ini dilakukan mengikut kemampuan, ketahanan, jumlah masa larian, jumlah masa mereka berada diatas padang, kekerapan mewakili kelab, kekuatan stamina, ketahanan mental dan paling utama skill yang ada pada seseorang pemain.
Secara amnya, diluar negara, pemilihan pemain untuk mewakili negara di wajibkan pemain berkenaan berada di dalam kelompok kelab 5 teratas di setiap liga yang mereka wakili. Di sampin itu juga, seseorang pemain hanya layak mewakili negara sekiranya mencapai minit permainan yang disasarkan sebelum mereka disaring dengan pelbagai ujian yang cukup ketat.
Ini adalah maruah negara dan sudah semestinya bagi negara yang "memuliakan" bola sepak, kreteria pemilihan di lakukan dengan ketat. Oleh yang demikian, mana-mana pemain yang ingin mewakili negara, mereka akan memastikan mereka mereka dapat bermain sebanyak mungkin di dalam kelab mereka. Malah, mereka tidak teragak-agak untuk berpindah jika mereka di peram di bangku simpanan.
Mentaliti inilah yang tiada dalam pengurusan pasukan bola sepak Malaysia dan pemainnya sendiri. Ada diantara pemain tidak kisah diletakkan dibangku simpanan asalkan menerima gaji yang lumayan dari kelab. Lebih melucukan, Nelo Venggada dan pasukan kejurulatihannya sendir boleh memanggil pemain yang hanya memanaskan bangku simpanan dan mengenepikan pemain yang kerap mewakili kelab.
Negara makin hari menuju kearah negara maju namun pasukan bola sepak Malaysia semakin hari semakin berundur kebelakang. Di Malaysia hari ini, hanya JDT sahaja berada ditangga ke 34 kelab terbaik Asia manakala kelab lain, semakin lama semakin tenggelam. Begitu juga dengan ranking pasukan Malaysia yang semakin hari semakin merudum.
Tidak tahulah bila pasukan Malaysia mampu berada ditangga 140 dan kebawah dunia. Hari ni kita berada diranking 170 dunia, sama taraf dengan negara yangs edang bergolak dan ada diantaranya langsung tidak pernah diketahui ada ataupun tidak pasukan bola sepak mereka. Inilah liga Malaysia dan inilah pasukan yang kononnya berlagak seperti harimau namun sebenarnya melangkah seperti seeokor kucing manja!
0 comments:
Post a Comment