Seorang wanita dipercayai maut selepas melahirkan bayi di dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Pantai di sini hari ini. Kejadian tersebut disedari rakan lelaki mangsa pada pukul 6.30 pagi selepas menyelinap masuk ke bilik mangsa melalui tingkap bilik air hotel terbabit.
Difahamkan mangsa berusia 24 tahun ditemui rakanya itu dalam keadaan berlumuran darah bersama bayi lelaki di sisi mangsa. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, tiada kecederaan pada tubuh mangsa dan polis percaya wanita malang itu meninggal dunia ketika melahirkan anak.
"Mangsa telah menginap seorang diri di hotel tersebut pada Isnin lalu. Bilik berkenaan didaftarkan atas nama lelaki tersebut. Pada pukul 6.30 pagi tadi, rakan lelaki mangsa datang untuk melawat keadaan wanita itu. Malangnya pintu tidak dibuka setelah beberapa kali diketuk," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Chandra, pekerja hotel membantu pengadu untuk membuka pintu bagaimanapun gagal kerana ia diselak dari bahagian dalam. Lelaki tersebut kemudiannya bertindak menyelinap melalui tingkap bilik air lalu menemui mangsa di lokasi kejadian.
"Bayi lelaki itu berada dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Likas di sini," katanya. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 di sini untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
0 comments:
Post a Comment