AEON Big (M) Sdn Bhd terus mengorak langkah dalam mengatur pelan strategi pengukuhan syarikat sebagai pasar raya besar pilihan di negara ini selepas mengambil tanggungjawab dari syarikat Carrefour lima tahun lalu.
AEON Big juga dilihat berjaya meneruskan pengusahaan beberapa cawangan dan menyelamatkan beribu pekerja dari syarikat Carrefour dan usaha itu membuahkan hasil apabila AEON Big sudah mula mendapat keuntungan yang positif.
Pengarah Urusannya Masayoshi Masuda berkata, pihaknya merekodkan peningkatan jualan enam peratus separuh pertama tahun ini dan komited untuk mengekalkan momentum itu disokong dengan pelbagai aktiviti dan promosi yang dijalankan. Katanya, tumpuan berterusan AEON Big adalah untuk memberi promosi terbaik dan tawaran hebat setiap kali pelanggan membeli-belah.
“Langkah pengubahsuaian rangkaian dan menutup tiga cawangan membantu syarikat terus mengukuhkan kedudukan di pasaran. Walaupun ekonomi tidak menentu pada masa ini permintaan konsumer sentiasa ada dan kami menggunakan strategi terbaik supaya pelanggan memperoleh nilai tambah setiap kali berbelanja di AEON Big.
“Kami akan memberi tumpuan kepada 21 cawangan yang ada sekarang serta menambah produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengikut permintaan dari semasa ke semasa,” katanya kepada media selepas majlis sambutan ulang tahun ke-5 AEON Big di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong. Masayoshi berkata, pada masa hadapan pihaknya bercadang untuk meneroka segmen e-dagang, namun dengan cara yang berbeza iaitu terhadap produk berinovasi.
“Kami tidak mahu tergesa-gesa, namun perancangan untuk e-dagang memang ada, tetapi bukan pada masa ini kerana kami mempunyai cara yang berbeza bagi memenuhi keperluan pengguna,” katanya.
0 comments:
Post a Comment