Pendedahan itu dilakukan cicit Holmes, Jeff Mudgett selepas menemui diari peribadi pembunuh terbabit diikuti siasatan serta kajian terperinci. Penjelasan terhadap penemuan besar itu turut dikongsi dalam siri dokumentari American Ripper yang boleh disaksikan di saluran History setiap Rabu jam 9.55 malam.
Mudgett dalam temu bual eksklusif baru-baru ini menegaskan kes itu dianggap sudah selesai berdasarkan beberapa bukti kukuh yang menunjukkan Holmes dan Jack the Ripper adalah individu sama.
“Saya menggunakan kepakaran dan pengalaman sebagai peguam untuk mengenal pasti tulisan tangan diari Holmes serta surat daripada pembunuh kejam di London. Selain itu, saya turut bekerjasama dengan pakar dan siasatan menunjukkan penulisan berkenaan adalah sama. Ini salah satu fakta yang menunjukkan moyang saya adalah Jack the Ripper,” katanya.
Biarpun kejadian pembunuhan bersiri berlaku di dua negara berbeza lebih satu abad lalu, Mudgett berkata, syarikat perkapalan masih menyimpan rekod penumpangnya sehingga sekarang. “Rekod terbabit menunjukkan Holmes pernah berlayar ke London dan saya percaya dia menulis surat misteri itu ketika di sana,” katanya.
Kesungguhan Mugdett melakukan siasatan terhadap Holmes menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluarganya, tidak kurang juga reaksi negatif daripada orang sekeliling. “Pada mulanya, keluarga menjadi marah dan kecewa berikutan saya sanggup berhenti sebagai peguam demi menyelesaikan kes ini.
“Pada masa sama, kes itu turut menjejaskan kehidupan mereka, namun, selepas siasatan berjalan lancar, keluarga mula memberi sokongan,” katanya.
Mudgett berkata, dia mula mengetahui asal usul moyangnya dan latar belakang gelap Holmes ketika usia 13 tahun. “Memang saya terkejut besar apabila mendapati siapa sebenar moyang. Tak sangka dia membunuh dan menyeksa mangsanya tanpa belas kasihan.
“Orang menganggap kejahatan Holmes diwarisi kepada keturunannya. Bagi saya, perkara seperti itu adalah mengarut. Saya sedar siasatan ini menerima kecaman ramai namun, orang ramai harus menerima hakikat kes Jack the Ripper dan Holmes sudah selesai,” katanya.
Menurut Mudgett, siasatan terbabit turut menarik minat sebuah produksi untuk menghasilkan filem Devil in the White City yang menampilkan pelakon Leonardo Di Caprio sebagai Holmes. “Saya teruja untuk melihat hasil karya itu dan berharap filem berkenaan dapat membekalkan maklumat mencukupi kepada penonton dan bukannya kisah tahyul mengenai Jack the Ripper,” katanya.
Untuk pengetahuan pembaca, Holmes dalam perbicaraannya mengakui membunuh 27 individu dalam hotel miliknya di Chicago. Namun, bukti menunjukkan sembilan individu dibunuh dan beberapa mangsa Holmes didapati masih hidup.
Siri pembunuhan dilakukan Holmes bermula pada 1891 selama empat tahun sebelum dia diberkas pihak berkuasa selepas membunuh rakan baiknya, Pitezel pada 1984. Ajaibnya, Holmes yang juga penipu hebat tidak pernah melakukan sebarang kecederaan terhadap tiga isterinya.
Bagi Jack the Ripper pula, siri pembuhunan kejam berlaku di daerah Whitechapel, London pada 1888 dan membabitkan pelacur. Mangsa ditemui dengan kesan kelar pada leher, tikaman di perut dan organ dicabut. Bagaimanapun, identiti pembunuh tidak pernah ditemui dan hanya surat dipercayai daripada pembunuh dihantar kepada media.
0 comments:
Post a Comment