Hari demi hari, industri game di negara ini semakin melonjak bukan saja dari segi bilangan pemain game itu sendiri malah, kita mula dikenali sebagai pengeluar permainan game yang hebat. Belum lagi menyentuh bakat sebagai pemain dan pengeluar meskipun sebenarnya industri game di negara ini masih bertatih untuk menyaingi gergasi besar yang sudah belasan tahun bermain.
Tetapi, belum terlewat untuk segala-galanya jika ada lonjakan dan sokongan terutama dari dalam negara sendiri. Ditambah pula penggunaan telefon pintar yang menjadi platform sosial dalam kehidupan, peluang terbuka untuk mana-mana pihak menampilkan inovasi asalkan mempunyai idea kreatif yang bermain di fikiran.
Langkah penganjuran Level Up KL yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Media Prima Labs (MPLabs) dan Harian Metro sebagai rakan media rasmi menjadi antara platform untuk mengorak langkah menaikkan imej Malaysia.
Level Up bersifat serantau dan mungkin tidak menyamai Persidangan Pembangun Game (GDC) yang kerap dianjurkan di San Francisco, Amerika Syarikat, tetapi ia platform terbaik bukan saja sebagai penggemar game malah individu yang mahu menambah cita-cita ke peringkat lebih tinggi.
Sepanjang lima hari dianjurkan, Level Up KL 2017 menampakkan kejayaan sekurang-kurangnya membuka mata potensi bakat tempatan dalam industri terbabit. Penulis perlu mengakui bakat tempatan sehingga ada syarikat seperti Streamline Studios membuka studio mereka di negara ini dalam usaha memperkukuhkan tapak di Asia.
Streamline Studios terkenal dengan beberapa jenama seperti Final Fantasy XV, Street Fighter V, Bioshock, James Bond, Avatar, Coca-Cola, Twentieth Century Fox dan Intel. Syarikat terbabit turut menyertai Level Up KL 2017 kali ini.
Ditambah pula, Asia memainkan peranan pembangunan game di dunia seperti yang dapat disaksikan di Jepun. Industri game membuka peluang perniagaan dan ia boleh diisi dengan bakat tempatan yang menyerlah. Antara syarikat gergasi yang terbabit dalam Level Up kali ini untuk sesi perkongsian idea ialah Marvel, Sony, Unity dan Square Enix.
Bukti bakat Malaysia dalam industri game sudah terserlah pada anak muda Wan Hazmer Wan Ab Halim yang kini menerajui pasukan pereka game di Square Enix. Beliau yang turut hadir memberi idea di Level Up KL mengharapkan anak muda di negara ini terus belajar dan tidak gentar memasuki industri game.
Pengarah Kandungan Kreatif dan Bahagian Teknologi MDEC Hasnul Hadi Samsudin berkata, ramai pemain dan pasukan dibentuk serta bersaing bukan saja di peringkat tempatan, namun menempa nama di persada antarabangsa.
“Level Up KL memasuki tahun ketiga dan ia bukan lagi sekadar wacana biasa tapi kini meneroka rentas sempadan dengan kerjasama serantau serta mewujudkan perkongsian strategik bersama pemboleh teknologi untuk memacu industri pembangunan permainan yang maju ke depan,” katanya.
Menurut Hasnul, MDEC terus menggalakkan kerjasama lebih besar antara negara dalam komuniti permainan Asia Tenggara memandangkan ia bertujuan mengukuhkan kedudukan rantau dalam kalangan pemain global. “Kerajaan Malaysia mengiktiraf industri permainan sebagai enjin penting bagi pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
“Sokongan yang kami terima sempena Level Up KL dari tahun ke tahun bersama sokongan padu pemain terkemuka dalam industri permainan menunjukkan ia mempunyai apa yang diperlukan untuk memacu industri teguh, dinamik dan pelbagai,” katanya.
Lebih penting lagi, kata Hasnul, perkembangan positif ini meletakkan Malaysia sebagai sebuah rantau yang menghasilkan permainan baru.
Level Up KL berlangsung di Kuala Lumpur dari 4 November dan berakhir hari ini menjadi persidangan pembangunan permainan terbesar di rantau ini mempamerkan kandungan berkaitan pembangunan permainan meliputi aspek perniagaan dan teknikal industri, trend masa depan, ucaptama dan sesi peringkat tinggi bersama ahli panel yang dihormati dari seluruh dunia.
Ia berjaya mengumpulkan lebih 700 peserta, ahli panel dan peserta pameran dari negara Asia Tenggara. Level Up KL 2017 disasarkan kepada pemain industri dan komuniti permainan secara umum termasuk pembangun, penerbit, vendor, penyedia teknologi, pelajar dan ahli akademik dengan tumpuan memacu idea yang bermakna kemudian boleh diterjemahkan dalam perkongsian dan kerjasama masa depan.
Antara yang mencuri tumpuan acara Game Jam Asia Tenggara apabila mengumpulkan pembangun game mencipta permainan dalam tempoh 36 jam. Selain itu, Anugerah Game Asia Tenggara turut diperkenalkan buat pertama kali disokong MYGameOn.
Menyentuh Anugerah Game Asia Tenggara yang baru diperkenalkan, Hasnul memaklumkan industri permainan di Asia Tenggara sangat unik kerana setiap negara memiliki ciri dan keupayaan masing-masing.
“Melalui Anugerah Game Asia Tenggara, kami berharap dapat meletakkan rantau ini sebagai pemain global yang serius dan menyediakan negara di rantau ini peluang untuk mempamerkan keupayaan mereka yang tersendiri kepada dunia.
“Dalam jangka masa panjang, kami anggarkan kita boleh melihat studio dan penerbit antarabangsa yang lebih besar menjenguk Asia Tenggara untuk mencari bakat atau datang sebagai pelabur aktif,” katanya.
Menariknya, lebih 75 judul permainan yang diterbitkan di Asia Tenggara dari pembangun permainan indie, studio, penerbit permainan dan pelajar diperoleh jawatankuasa dengan 30 daripadanya disenarai pendek sebagai finalis. Anugerah ini dibahagikan kepada 10 kategori termasuk Seni Visual Terbaik, Reka Bentuk Permainan Terbaik, Bakat Baru Terbaik dan Anugerah Pilihan Audien.
Di Malaysia saja, industri game menyumbang RM464 juta jualan eksport pada 2016 dan berkembang pada kadar yang mengagumkan sebanyak 37 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pertumbuhan yang berpotensi ini memperlihatkan prospek besar bagi Malaysia yang berupaya menjadi pusat serantau yang paling digemari untuk pembangunan dan penyampaian permainan menjelang 2025 dipacu MDEC.
Untuk memanfaatkan potensi ini secara strategik dan berkesan, MDEC bersedia untuk mengumumkan kerjasama dengan organisasi serantau sepertiNusantara Capital (DNC), Game Developers Association of the Philippines (GDAP), Taipei Computer Association (TCA) dan Tokyo Contents Incubation Center (TCIC).
Pengumuman terbabit menyaksikan agensi terbabit dengan penyedia platform dan teknologi termasuk Google, Sony Interactive Entertainment dan Amazon yang memantapkan Level Up Inc iaitu kemudahan inkubator yang dibina di Kuala Lumpur menyediakan sokongan komprehensif untuk pembangunan bakat dan penambahbaikan perniagaan bagi industri permainan.
0 comments:
Post a Comment