Pembangunan infrastruktur pengangkutan awam darat negara tidak hanya tertumpu kepada pembangunan di Lembah Klang semata-mata. Ianya turut meliputi pembangunan pengangkutan awam di negeri-negeri lain terutamanya di negeri Selatan tanahair yang bersempadan dengan negara jiran, Singapura.
Untuk ini satu rombongan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah telah diperkenan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bharu, semalam.
Pertemuan ini diadakan untuk mengemukakan tiga pilihan kajian berhubung projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Woodlands di Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bharu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah, RTS ini mampu menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor yang menghantui pengguna laluan berkenaan sejak sekian lama. Ianya juga bakal menjadi alternatif tambahan untuk 80 hingga 100 ribu orang pengguna setelah projek ini siap kelak.
Pertemuan buat julung-julung kali ini juga turut disertai oleh Ketua Pegawai Pembangunan SPAD, Dr Prodyut Dutt dan Ketua Rel Antarabangsa, Farizul Hazli Baharom. Dari riak wajah Baginda seperti yang di sebarkan menerusi laman Facebook milik Baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Baginda nampaknya begitu ceria dan gembira denganc adangan yang dikemukakan oleh pihak SPAD ini.
Apa yang pasti, setelah mendapat perkenan Baginda dan projek ini dilaksanakan sepenuhnya, satu lagi mercu tanda baru negeri Johor bakal tercipta dengan menjanjikan kemudahan dan sekaligus mampu untuk memangkinkan pembangunan ekonomi yang lebih baik buat negeri Johor.
0 comments:
Post a Comment