Kerajaan Negeri Terengganu dan Pemandu Associates (Pemandu) bekerjasama untuk membangunkan kajian Pelan Induk Pelancongan Terengganu 2018-2025 yang dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini. Pembangunan pelan induk itu bagi membantu Terengganu mencapai sasaran 6.5 juta kehadiran pelancong dan meraih perbelanjaan pelancong sebanyak RM6 bilion menjelang 2025.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, langkah memperkenalkan pelan induk berkenaan bagi mempelbagaikan sumber ekonomi yang mampu menyumbang kepada perolehan kerajaan negeri yang kini 85 peratus disumbangkan oleh sektor minyak dan gas.
Beliau berkata, sektor itu mempunyai potensi besar untuk Terengganu memandangkan ketika ini ia menyumbang sekitar 10 hingga 15 peratus setahun kepada perolehan negeri dan memberi pelbagai sudut limpahan ekonomi.
“Berdasarkan kajian yang lalu, pelancongan membawa kepada kesan berganda sebanyak tiga kali kepada perkembangan ekonomi dan 2.5 kali ganda kepada mewujudkan peluang pekerjaan.
“Menerusi pengenalan pelan induk ini, kami juga menyasarkan 7,000 peluang pekerjaan dapat dicipta menjelang 2020,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama membangunkan pelan induk berkenaan antara kerajaan Terengganu dan Pemandu, semalam.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala. Sektor pelancongan juga adalah salah satu tumpuan kerajaan Terengganu dan disokong oleh beberapa sektor utama lain iaitu bioteknologi, perkilangan, industri mineral dan ekonomi digital.
Ahmad Razif berkata, menerusi pembangunan pelan induk itu, pihaknya ingin membangunkan konsep pelancongan pintar dengan menggunakan teknologi digital serta konsep Internet untuk Segalanya (IOT) bagi menambahbaik pemasaran dan penjualan, penyampaian perkhidmatan dan pengalaman pengunjung.
“Selain itu, kita juga akan terus mempromosikan produk pelancongan Terengganu di peringkat antarabangsa seiring dengan pelan kerajaan negeri untuk mewujudkan hab pelancongan di Huaxi, China,” katanya.
0 comments:
Post a Comment