My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 10 November 2017

    C 250 AMG Jimat Minyak



    Satu ketika dulu, memandu kereta buatan Eropah atau ‘Continental’ sering kali dikaitkan dengan penggunaan bahan api yang tinggi, namun seiring peredaran zaman teknologi pembuatan enjin semakin canggih menyebabkan persepsi negatif itu berubah 360 darjah. 

    Selain teknologi enjin termaju digunakan, reka bentuk sesebuah kenderaan itu turut mempengaruhi, malah tidak dinafikan ia saling berhubungan antara satu sama lain dan ini dapat dibuktikan menerusi pandu uji Vroom selama lima hari setengah dengan model terbaru Mercedes-Benz C 250 AMG Line. 

    Apa yang penulis maksudkan ialah dari hari Rabu kereta itu diambil hinggalah dihantar semula pada pagi Isnin, penulis tidak langsung singgah di mana-mana stesen untuk mengisi minyak, malahan masih ada tiga lagi ‘bar’ pada penunjuk tokok minyak ketika kunci kereta diserahkan.

    Penggunaan bahan api model ini amat cekap dan efisien walaupun penulis ‘melenjan’ secukup-cukupnya pada kelajuan yang berbeza-beza termasuk jalan bandar, lebuh raya hinggalah ke luar bandar.

    Dengan setangki petrol penuh 66 liter, kereta sedan eksekutif ini mampu memberikan perjalanan melebihi 600km apatah lagi ketika ini kebanyakan daripada kita sering mengeluh dengan kenaikan harga bahan api semasa.

    Kelahiran model C-Class generasi keempat ini menjadi model pertama Mercedes-Benz yang menggunakan platform Modular Rear Architecture (MRA) iaitu 100 kilogram lebih ringan daripada generasi sebelumnya kerana MRA menggunakan banyak komponen aluminium dan besi ketahanan tinggi.

    Jika diimbas model terdahulu yang dipadankan dengan kotak gear 7G-Tronic Automatic, model 2017 pula sistem transmisi kotak gear 9G-Tronic Automatic iaitu kotak gear automatik dengan sembilan nisbah gear yang pertama di dunia bagi segmen premium. Penggunaan gear ini bukan saja lancar dan cekap malah pemandu tidak akan terasa langsung gear bertukar.

    Ketika diuji, untuk mencapai tahap gear tertinggi kereta ini perlu dipandu melebihi kelajuan 120 kilometer sejam (km/j) dan jika dipandu di dalam bandar, gearnya akan berada dalam kedudukan lapan atau tujuh bergantung kepada kelajuan.

    Kelebihan gear ini cukup membantu menjimatkan penggunaan minyak dibantu oleh enjin berkuasa 2.0L atau 1,991cc, empat silinder sebaris dengan pengecas turbo dan sistem penyejukan cecair optimum.

    Padanan enjin ini pula mampu memberikan tujahan kuasa maksimum 211hp pada 5,500rpm dan tork maksimum 350Nm pada 1,200-4,000rpm dengan pecutan 0-100km/j hanya 6.6 saat, menyebabkan pesaingnya hanya menggigit jari ketika kereta ini meluncur laju di lebuh raya.

    Bagi mereka yang mahukan kelainan dalam pemanduan, hanya tekan butang pada sebelah kiri untuk menukar empat mod pemanduan melalui program Agility Select. Mod itu ialah Eco, Sport, Sport +, Comfort dan mod Individual di mana pemandu boleh menghasilkan mod sendiri.

    Apa yang mengejutkan penulis kereta ini mempunyai mod meluncur (gliding mode) yang mana kereta ini seakan-akan meluncur sendiri tanpa perlu menekan pedal minyak. Mungkin ini dikatakan sebagai mod sendiri. Hebat bukan!

    Selain ruang dalamannya yang mewah dan premium, reka bentuk C-Class generasi baru ini juga tampak eksklusif dengan garisan kontur yang lebih aerodinamik seakan-akan model ‘abang’ S-Class atau E-Class, sekali gus menjadikan model ini sebagai ‘model paling laris’ dalam keluarga Mercedes-Benz sejak diperkenalkan di pasaran.

    Melangkah ke ruang kokpit, rekaan papan pemukanya cukup kemas dan tersusun dengan menggunakan kemasan eksotik seperti kayu, kulit dan besi aloi yang melambangkan ciri ‘prestij’ pemiliknya. Terlalu banyak fungsi yang boleh dikawal menerusi tombol gear ditengah-tengah yang berfungsi seperti papan tetikus.

    Pelbagai tetapan boleh dilakukan pada kereta ini menerusi paparan skrinnya daripada tahap pencahayaan lampu ambien termasuk menukar cahaya daripada oren kepada biru mahupun sistem antitunda yang memberi amaran kepada sistem penggera sekiranya kereta ini cuba dilarikan dengan menggunakan trak tunda.

    Andai kata tangan anda sedang penuh memegang barang, hanya lakukan tendangan ‘manja’ pada bahagian bawah bamper belakang bagi membolehkan ruang tempat letak barangnya dibuka secara automatik dan tendang sekali lagi untuk menutupnya semula.

    Model AMG Line yang dipandu uji ini tidak ada sebarang komponen penambah kuasa enjin cuma dilengkapi aksesori AMG seperti bampar AMG depan dan belakang, bodykit, roda aloi 18-inci dari AMG, karpet lantai AMG dan barangan tambahan AMG pada ruang kabin.

    Mercedes-Benz C-Class yang dipasang sepenuhnya di Pekan, Pahang ini masih kekal pacuan roda belakang dan dianggap sebagai Mercedes-Benz paling mampu milik berikutan harganya yang berdaya saing.

    Penampilan rekaan yang lebih segar menjadikan model itu pilihan eksekutif muda yang mahu ‘melaram’ dengan imej sebuah sedan premium yang sporty bukan sahaja pada luaran malah ruang dalamannya.

    Pada tanda harga RM287,888 (harga atas jalan, termasuk GST tanpa insurans), C 250 AMG ini menjadi pesaing kepada model buatan Jerman lain dengan pesaing terdekatnya BMW 3 Series.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: C 250 AMG Jimat Minyak Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top