TAMPIL dengan lebih tenang, pemain badminton perseorangan No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei membuktikan dirinya masih merupakan jaguh terbilang apabila merangkul gelaran juara Siri Super Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum semalam.
Pemain berusia 35 tahun itu menamatkan kemarau lapan kejohanan sejak muncul juara Seluruh England (All England), Mac lalu dengan menewaskan pemain No. 4 dunia dari China, Chen Long 21-14, 21-19 dalam masa 46 minit.
Kemenangan tersebut merupakan gelaran kelima Chong Wei untuk kejohanan itu selepas melakukannya pada 2009, 2010, 2013 dan 2015.
Berdepan Chen Long pada aksi final semalam juga seolah-olah mengulangi pertemuan mereka pada Sukan Olimpik Rio 2016 apabila pemain China itu menafikan Chong Wei meraih pingat emas pertama pada temasya sukan tersebut dengan keputusan 21-18, 21-18 di pentas final.
Mengulas mengenai aksi tersebut, Chong Wei yang merupakan pilihan kelapan kejohanan mengakui, Chen Long memberikan tentangan sengit pada set kedua biarpun dia menang mudah untuk set pertama.
“Ini adalah kejuaraan kedua saya musim ini dan saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Saya juga berharap kedudukan saya pada ketika ini mampu melayakkan saya beraksi pada Siri Super Akhir 2017 di Dubai bulan depan,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment