Filem mengenai individu yang memiliki kelainan fizikal berisiko menyentuh sensitiviti ramai selain terlalu bersifat manipulatif. Barangkali disebabkan itu ramai pengarah tidak berani tampil dengan filem sedemikian.
Bagaimanapun, filem terbaru arahan Stephen Chbosky berjudul Wonder yang mula ditayangkan 7 Disember ini berada dalam kelas tersendiri. Ia sebuah naskhah yang mempunyai cita rasa emosi yang begitu mengagumkan. Mempertaruhkan genre drama, tahapnya membangkitkan rasa empati berpadu sempurna dengan elemen lain.
Ia ada satu kuasa tersendiri untuk menyentuh secara mendalam perasaan penonton. Pada masa sama, ia bercerita mengenai situasi semasa kes buli yang jelas tidak pernah berkesudahan di Amerika Syarikat (AS). Cuma filem ini mungkin terlalu jujur hingga elemen seni tidak begitu ditonjolkan.
Wonder yang menampilkan lakonan Owen Wilson dan Julia Roberts ini menceritakan mengenai Auggie Pullman lakonan Jacob Tremblay iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang berhadapan waktu sukar apabila memiliki wajah ‘menakutkan’ kesan pembedahan selepas dia terbabit dalam kemalangan.
Mata kirinya tertarik ke bawah seakan-akan ada air mata mengalir, telinganya berbentuk pelik dan wajahnya dipenuhi kesan parut. Bagaimanapun, dia tiada bezanya dengan kanak-kanak normal lain cuma seseorang perlu mengambil sedikit masa untuk menerimanya. Auggie sangat obses dengan sains dan peminat tegar Star Wars serta Minecraft.
Dia juga sukakan ais krim dan permainan X-Box. AUGGIE berdepan kesukaran di sekolah. Selain itu, dia juga hidup dengan fantasi sendiri dan meminati angkasa lepas serta sering mengenakan helmet angkasawannya. Wajahnya boleh kelihatan muda dan tua pada masa sama.
Sesiapa pun pasti akan terkejut apabila melihat wajahnya namun semakin mengenali Auggie, jiwa naif kanak-kanak itu makin terserlah. Pada awalnya, dia tidak dihantar ke sekolah biasa dan hanya belajar di rumah bersama ibunya Isabel (Julia Roberts).
Namun, apabila usianya mencecah 10 tahun, Isabel dan suaminya, Nate (Owen Wilson) mengambil keputusan menghantar Auggie ke sekolah pertengahan. Mereka tidak boleh terus menyembunyikan Auggie dari dunia luar selama-lamanya tetapi juga tiada kemahuan untuk tidak membebaskannya pun.
Lakonan Julia dan Owen sememangnya menyerlah dalam filem itu. Mereka berjaya menonjolkan sisi sensitif, penyayang dan melakukan apa saja demi anak istimewa mereka itu. Mereka berusaha menjadikan Auggie sentiasa kuat dan berani mempertahankan diri selain bergaul dengan komuniti.
Auggie mahukan perkara sama, namun ia tidak semudah mana apabila dia bertemu kanak-kanak lain di Beecher Prep School. NILAI persahabatan antara elemen menyentuh hati. Wonder sememangnya mempunyai impak yang begitu efektif mengenai kehidupan realistik seorang kanak-kanak istimewa.
Daripada dipinggirkan sahabat karib, jatuh cinta dengan kawan baru dan menyertai kelab drama, Auggie seorang pemberi inspirasi. Daripada hanya seorang kambing hitam, Auggie berjaya memikat hati ramai dan kemudian bertukar hero.
Dari segi lakonan, Jacob berjaya menghidupakan watak Auggie dengan cukup baik sekali. Mesej mengenai paras rupa bukan ukuran berbanding jalan yang dipilih berjaya diketengahkan oleh Jacob dengan baik sekali.
Sama seperti dua filem arahannya sebelum ini iaitu The Four Corners of Nowhere dan The Perks of Being a Wallflower, Stephen terus menggunakan pendekatan teliti, hati terbuka dan merendah diri dalam sentuhannya. Dia tidak bercakap besar dengan apa yang cuba dilakukan, sebaliknya membiarkan penonton merasainya di skrin sendiri.
0 comments:
Post a Comment