Kami ada dua pilihan untuk mendaratkan kapal yang ada masalah landing gear iaitu pertama, mendarat tanpa tayar dan C130H ada tiga tayar di hadapan, kiri dan kanan. “Kedua, mendarat dengan satu tayar di depan dan dua tayar kiri dan kanan tiada.
Saya ambil keputusan mendarat dengan pilihan kedua iaitu lebih selamat kerana ada satu tayar yang boleh kawal dan elak kesan lebih tinggi,” kata juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Zul Helmie Zainuddin ketika menceritakan semula saat pesawat C130H TUDM melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan, kelmarin.

Namun selepas enam jam mereka cuba menyelesaikan masalah, akhir sekali, disebabkan kekurangan minyak kira-kira satu jam, mereka membuat keputusan untuk mendarat tanpa gear pendaratan utama.
“Selaku kapten, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan latihan yang sepatutnya ke Kuching, Kota Kinabalu dan kembali semula ke Labuan.
"Saya membatalkan latihan dan berlegar-legar di sekitar Pulau Labuan untuk selesaikan masalah. Hasil kerjasama anak kapal, kami cuba selesaikannya mengikut prosedur dan tindakan sepatutnya mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika ditemui pada sidang media TUDM bersama Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Pangkalan Udara Labuan di sini, semalam.

“Selain itu, pihak berkaitan banyak membantu termasuk pasukan bantuan Pangkalan Udara Labuan dan bomba TUDM. Tanpa bantuan mereka ia pasti sukar,” katanya.
Menurutnya, sebagai juruterbang mereka diberi latihan menghadapi situasi seperti itu menerusi latihan simulator. “Menerusi latihan simulator, kami boleh buat apa saja keadaan seperti tanpa tayar, ribut dan sayap patah. Jadi kami gunakan pengalaman itu untuk situasi sebenar,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, pesawat C130H TUDM melakukan pendaratan cemas selepas mengalami masalah landing gear yang menyebabkan pesawat itu tidak dapat mendarat dengan normal. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas pesawat itu mendarat jam 5.29 petang.
0 comments:
Post a Comment